HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Januari 2008

Tajol Rosli sokong guna Mat Rempit angkut pengundi.



IPOH: Cadangan Putera Umno menggunakan khidmat "Mat Rempit" membawa pengundi dengan motosikal pada pilihan raya umum ke-12 merupakan idea yang baik dan turut sesuai dilaksanakan di kawasan bandar, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Beliau berkata penggunaan motosikal bukan sahaja sesuai di kawasan pedalaman tetapi di kawasan bandar kerana ada pusat pengundian yang tidak boleh dimasuki kereta.

"Bagi pengundi yang terpaksa berjalan kaki jauh dari tempat letak kereta ke pusat-pusat pengundian, khidmat motosikal boleh disediakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tajol Rosli yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian semasa diminta mengulas cadangan Putera Umno untuk menggunakan khidmat Mat Rempit membawa pengundi dari kawasan ceruk yang tidak boleh dimasuki kereta.

"Cadangan ini bagus kerana dalam simulasi pilihan raya yang dibuat oleh Umno Bahagian Ipoh Timur semalam, kami telah mengesan kelemahan dalam khidmat membawa pengundi," katanya.

Tajol Rosli bagaimanapun menasihati jentera pilihan raya Umno supaya memastikan khidmat membawa pengundi bermotosikal dikendali oleh lelaki dan wanita.

"Kalau pengundi wanita, biar penunggang wanita yang membawanya...janganlah dibawa oleh penunggang lelaki, nanti lari pula undi," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: