KUALA LUMPUR: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju
menahan seorang jururawat persendirian selepas dipercayai terbabit dalam
kegiatan dadah di Wangsa Melawati, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi
Sarif, berkata wanita yang berusia 27 tahun itu ditahan di tepi jalan di
hadapan sebuah rumah di Jalan Wangsa Budi 11 kira-kira pada jam 9 pagi.
"Polis menemui sebuah beg kertas yang dipegang oleh suspek mengandungi
lapan ketulan mampat serta daun kering yang disyaki ganja.
"Ia dianggarkan seberat 255.49 gram bernilai lebih kurang RM850, suspek
kemudian ditahan untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut,"
katanya dalam satu kenyataan.
Roy berkata, keputusan ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis THC.
"Selain daripada lapan ketulan dipercayai ganja yang ditemui pada
suspek, polis turut menemui satu botol kaca berwarna kuning, papan
plastik warna putih serta sebilah pisau disyaki untuk tujuan
pembungkusan dan peralatan menghisap dadah.
"Pemeriksaan lanjut terhadap identiti suspek tidak menemui sebarang rekod jenayah lampau.
"Hasil soal siasat, suspek mendakwa dia mengambil bekalan dadah dengan
seorang lelaki di kawasan Kota Damansara dan sudah berurusan sejak lima
bulan lalu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan