BANGKOK: Tiga suspek rakyat Malaysia merupakan antara yang ditahan
kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan pusat panggilan
rentas dalam satu serbuan bersama oleh Polis Thailand dan Kemboja.
Polis Thailand percaya ketiga-tiga rakyat Malaysia termasuk wanita
berusia 20 tahun, dan seorang warga Taiwan itu diupah oleh sindiket
tersebut untuk mengeluarkan wang daripada dua mangsa rakyat tempatan.
"Kami menemukan dua kad ATM milik kedua-dua mangsa yang membuat laporan
polis baru-baru ini kerana mendakwa mereka ditipu dan mengalami
kerugian berjumlah sehingga 6.19 juta Baht (RM793,000)," kata ketua
pasukan petugas Thailand anti penipuan elektronik, Jen Thanisak
Teerasawat, semalam.
Menurut beliau, polis juga menemukan lapan lagi kad ATM, wang tunai
232,000 Baht (RM29,743) dan beberapa mata wang asing yang lain serta
lima kad SIM dari dua lelaki dan seorang wanita rakyat Malaysia
masing-masing berusia 19 dan 20 tahun serta warga Taiwan berusia 34
tahun.
Empat rakyat asing itu ditahan sebagai sebahagian daripada operasi
susulan operasi bersama melibatkan Polis Thailand dan Kemboja di Phnom
Penh dan Sihanoukville minggu lepas apabila 26 rakyat Thailand, enam
warga Taiwan dan lima rakyat Kemboja ditahan oleh pihak berkuasa.
Menurut polis Thailand, 37 suspek tersebut adalah sebahagian daripada
sindiket penipuan pusat panggilan yang bertanggungjawab menipu pelbagai
mangsa rakyat Thailand membabitkan hampir 100 juta Baht (RM12.8 juta).
Mereka percaya sindiket penipuan rentas sempadan itu didalangi oleh
rakyat Thailand, Malaysia dan Taiwan tetapi berpusat di Kemboja.
Sementara itu, Thanisak berkata, dalam tempoh dari 8 Disember tahun
lepas sehingga semalam, Polis Thailand telah menahan 231 suspek yang
dikehendaki kerana terlibat dalam penipuan pusat panggilan membabitkan
kerugian kewangan sehingga 187 juta Baht (RM24 juta).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan