MALAYSIA DATELINE
Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli terlepas daripada hukuman penjara
selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini memutuskan beliau
dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi kesalahan
mendedahkan satu muka surat laporan audit 1Malaysia Development Bhd
(1MDB).
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin
Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan rayuan Mohd
Rafizi bagi dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan
jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mohd Rafizi, 41, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah
Sesyen pada 2016 bagi kesalahan itu dan Mahkamah Tinggi mengekalkan
keputusan itu pada tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah
permohonan bagi dikenakan bon berkelakuan dikemukakan peguam Ahmad Nizam
Hamid yang mewakili naib presiden PKR itu.
Pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan balas terhadap pembebasan
Mohd Rafizi daripada pertuduhan pertama iaitu memiliki laporan audit
tanpa kebenaran.
Berikutan penarikan balik itu, Hakim Ahmadi yang mempengerusikan panel itu, membatalkan rayuan itu.
Ahmad Nizam memaklumkan mahkamah anak guamnya menarik balik rayuan
terhadap sabitan dan hanya meneruskan rayuannya terhadap hukuman.
Mohd Rafizi didapati bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu mendedahkan
isu kandungan laporan itu pada sidang media di lobi bangunan Parlimen
di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada 28 Mac 2016.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa memiliki muka surat 98
laporan audit itu yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)
oleh kerajaan, pada 3 petang pada 24 Mac 2016.
Mohd Rafizi, yang berkemeja putih, seluar panjang hitam dan jaket
hitam, berkata beliau datang ke mahkamah hari ini dengan bersedia bagi
sebarang kemungkinan termasuk dihantar ke penjara.
Beliau bersyukur kerana dikenakan bon berkelakuan baik dan berterima
kasih kepada mahkamah, timbalan pendakwa raya dan peguam belanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan