HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Jun 2018

40 peratus aset TUDM perlu dinaik taraf - PTU

 
   

Hampir 40 peratus aset pertahanan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu dinaik taraf atas faktor usia dan kemampuan aset bagi menjaga ruang angkasa negara daripada sebarang ancaman, kata Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata kesemua aset berkenaan antaranya meliputi beberapa jenis pesawat seperti Hawk 108 dan Hawk 208 yang telah mencecah usia 20 tahun dalam perkhidmatan TUDM.

“Selain itu, pesawat pengangkut jenis C-130 Hercules juga perlu diberi perhatian untuk menjalani proses berkenaan bagi memanjangkan hayat sekaligus digunakan secara optimum.

“Kami masih ada lagi pesawat yang berusia bawah 20 tahun seperti A400M dan EC-725, bagi pesawat pejuang F/A-18D pula, kami telah menjalankan proses menaik taraf sensor dan komponen lain serta sistem terkini untuk jangka masa 14 tahun lagi.

“Begitu juga dengan helikopter Nuri yang menjangkau usia lebih 40 tahun, walaupun ia bagus dan masih mampu beroperasi, tetapi ia helikopter lama dan akan menjadi masalah apabila membabitkan penukaran alat ganti dan komponen,” katanya pada wawancara khas dengan media bersempena Hari Ulang Tahun Ke-60 TUDM hari ini.

Tahap persediaan

Dalam pada itu, Affendi berkata TUDM mempunyai perancangan bagi meningkatkan daya tempur serta tahap persediaan mereka bagi tempoh kira-kira 35 tahun akan datang.

“Pertama TUDM perlu lihat apa yang kita ada dan kedua adalah persekitaran operasi dengan ancaman yang bakal kita hadapi serta kemampuan sumber kewangan.

“Kami boleh membeli dan menentukan peralatan supaya diberi penyenggaraan dengan lebih efektif,” katanya.

Affendi berkata kebanyakan aset TUDM telah menjangkau umur lebih 20 tahun dan keperluan menaik taraf aset amat tinggi.

Beliau berkata apabila ia mencecah tempoh berkenaan, TUDM membuat sesuatu supaya pesawat boleh terus beroperasi dan mengurangkan kos penyelenggaraan.

“TUDM perlu melihat ke hadapan dalam perolehan aset supaya penggunaan dalam menjaga ruang angkasa memberi kesan yang optimum.

“Kami perlu lihat apa yang kita perlukan untuk tempoh tertentu. Letakkan diri kita 10 tahun ke hadapan dalam pelbagai aspek seperti ancaman, kewangan dan penyelenggaraan,” katanya..

Hari terbuka TUDM

Sementara itu, TUDM akan mengadakan Hari Terbuka di setiap pangkalannya di seluruh negara pada Julai depan bersempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-60 hari ini.

Affendi berkata hari terbuka itu diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali TUDM dengan lebih dekat.

Beliau berkata pada hari terbuka itu TUDM antara lain akan menampilkan pertunjukan statik udara melibatkan asetnya di pangkalan TUDM terbabit.

"Selain itu, kami akan mengadakan program khas sempena sambutan ini bagi memberikan penerangan mengenai aktiviti TUDM," katanya.

Bagaimanapun, tarikh hari terbuka itu belum ditetapkan lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai tema Hari TUDM tahun ini iaitu 'Kuasa Udara, Tonggak Kedaulatan Negara', Affendi berkata kuasa udara bermaksud kuasa kritikal dalam sistem pertahanan sesebuah negara.

“Kerana itulah ia perlu sentiasa dipertahankan (kedaulatan negara), diperkuasai dan diperkukuh dari semasa ke semasa," jelas beliau.- Bernama


Tiada ulasan: