KEADILAN DAILY
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa orang ramai agar memberi ruang kepada Menteri Besar Selangor baharu, Amirudin Shari untuk membuktikan kebolehan beliau.
Pada masa sama, Setiausaha AMK Selangor Syed Badli Shah Syed Osman menggesa agar seorang lagi calon MB sebelum ini, Dr Idris Ahmad dilibatkan dalam pentadbiran negeri.
“Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok, Dr. Idris Ahmad adalah tokoh politik senior yang mesti dilibatkan untuk memperkukuh pentadbiran Selangor.
“Sesungguhnya ketokohan beliau perlu digandingkan dengan tenaga muda untuk memacu kecemerlangan.
“Menteri Besar Selangor yang baru juga perlu diberi ruang untuk membuktikan keupayaan beliau mampu meneruskan kecemerlangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” kata Syed Badli dalam kenyataannya.
Beliau turut menyeru agar orang ramai menerima pilihan istana Selangor untuk melantik Amirudin.
“Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan untuk melantik Tuan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor yang ke-16.
“Keputusan ini perlu disambut baik dan didukung oleh semua pihak khususnya para pendukung perjuangan Pakatan Harapan.
“Perbezaan pendapat sebelum keputusan adalah perkara biasa. Namun perbezaan selepas keputusan dibuat akan mencacatkan imej Pakatan Harapan dimata rakyat,” katanya lagi.
“Semua pihak perlu berlapang dada dan hentikan perbalahan. Fokus utama adalah untuk memperkasakan pentadbiran negeri demi rakyat,” katanya.
Amirudin semalam mengangkat sumpah jawatan bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menggalas amanah sebagai menteri hal ehwal ekonomi.
Memetik laporan Bernama, beliau memulakan tugasnya secara rasmi apabila tiba di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 7.50 pagi.
Amirudin yang memasuki penggal ketiga sebagai wakil rakyat menyandang jawatan exco sejak September 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan