HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Jun 2018

Gobind sokong SPRM siasat Finas, mahu siasatan mendalam

 
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan rasuah, ketirisan atau salah guna kuasa agensi atau jabatannya. 


Gobind Singh Deo berkata rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa boleh melumpuhkan perkembangan industri kreatif negara. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhubung pertikaian peruntukan badan tersebut pada 2017.

Menteri Gobind Singh Deo berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dalam sebarang unsur melibatkan rasuah, ketirisan ataupun salah guna kuasa dalam agensi atau jabatannya.

“SPRM patut diberikan ruang sepenuhnya dalam siasatan melibatkan pihak berkaitan bagi melengkapkan siasatan.

“Saya harap siasatan ini akan melihat secara mendalam kepada aturcara dalam peruntukan Finas yang digunakan pada masa lalu. Jika wujudnya sebarang kelemahan atau kekurangan, cadangan bagi memperkukuhkannya boleh dikemukakan untuk pertimbangan KKMM,” katanya dalam kenyataan.
SPRM hadir ke ibu pejabat Finas untuk menyiasat berhubung ketirisan peruntukan Finas pada 2017 pada 7 Jun lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata kedatangan para pegawainya ke Finas bagi mengambil beberapa dokumen untuk membantu siasatan.

“Dokumen yang ada ini bagi membantu siasatan kami berhubung beberapa peruntukan Finas yang dipertikaikan oleh pihak kami.

“Dikatakan dokumen ini berkaitan dengan projek bagi tahun 2017 bernilai RM6 juta,” katanya.

Gobind berkata unsur rasuah, ketirisan atau salah guna kuasa boleh melemahkan persaingan sihat dalam industri kreatif negara dan melumpuhkan perkembangannya secara keseluruhan.

“Sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya sebarang unsur ini, maka tindakan tegas perlu diambil mahupun secara undang-undang ataupun secara dalaman bagi menangani perkara ini dengan serta-merta.”

Tiada ulasan: