Khairy berkata beliau juga akan bersiap sedia untuk mengisytiharkan asetnya.
"Okay sudah pasti... debat kita kena bincang siapa jadi tuan rumah dan sebagainya, deklarasi aset saya akan buat persiapan," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Beliau percaya debat berkenaan akan menguatkan semula Umno, walau ditolak oleh sesetengah pihak dalam parti.
"Ini pemilihan dalam keluarga ada yang kata tak perlu debat tapi apa salahnya. Ini boleh kuatkan lagi budaya demokrasi dalam Umno dan Malaysia.
"Calon diuji dan diukur mengikut pemikiran idea dan kesungguhan mereka tawarkan satu visi jelas kepada rakyat. Saya tidak ada masalah, formatnya supaya kita kuatkan masa depan parti," katanya.
Saranan debat dan pengisytiharan aset diutarakan Tengku Razaleigh dalam satu rancangan bual bicara bersama stesen televisyen tempatan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu juga menyatakan kesediaan untuk menjawab pertanyaan daripada mereka.
"Jawapannya saya bersedia. Boleh jawab apa pertanyaan yang nak dikemukakan kepada saya.
"Kalau saya berani membuat penjelasan yang lain-lain pun patut ikut serta dan sanggup membuat penjelasan yang sama," katanya.
Selain Khairy dan Ku Li, turut bertanding jawatan presiden adalah Ahmad Zahid Hamidi, yang kini memangku tugas presiden selepas Najib Razak meletak jawatan.
Ahmad Zahid yang ditemui pemberita di PWTC selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Aidilfitri Wanita Umno hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, calon yang bertanding pemilihan kali ini juga perlu bebas politik wang yang sebelum ini membelenggu parti politik Melayu itu.
"Saya dah beritahu penyokong dan ahli, pemilihan kali ini dilihat begitu teliti, kita mesti buktikan perkara seperti politik wang tidak lagi menghantui Umno.
"Tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang gunakan politik wang dan ugutan, kita kena sedar diri sikit kita dah kalah," katanya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan