HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Jun 2018

Rafidah: Kerajaan tak boleh angkuh

   

WAWANCARA | Menteri kabinet selama hampir tiga dekad, Tan Sri Rafidah Aziz cukup berpengalaman mentadbir kerajaan.

Baru-baru ini, ketika ditemu-bual Malaysiakini, Rafidah diminta memberikan nasihat kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mana beliau berperanan menyokongnya.

""Mentadbir urus (negara) tak boleh angkuh.

"Tak boleh angkuh untuk apa saja sekali pun.

"Apabila kamu sombong, kamu lupa Tuhan Yang Maha Esa. Apabila kamu sombong, kamu fikir kamu sendirian sangat kuat yang kamu boleh menggerakkan sesuatu.

"Apabila kamu sombong, kamu fikir kamu boleh lari daripada undang-undang dan peraturan," katanya.




Walaupun telah bersara daripada politik aktif, kenyataan Rafidah masih menyengat, terus menjadi tajuk berita utama. Dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau tampil sebagai penceramah di majlis rapat umum HARAPAN.

"Saya sangat gembira kerana saya mengambil bahagian dalam membantu mengubah (kerajaan)," katanya.

Selama 21 tahun sehingga 2008, Rafidah ialah menteri perdagangan dan industri antarabangsa yang paling lama berkhidmat di negara ini. Sebelum itu, beliau merupakan menteri perusahaan awam selama tujuh tahun dan timbalan menteri kewangan.

Ketika mengenang saat-saat beliau dalam kerajaan, Rafidah teringat bagaimana beliau telah dipilih perdana menteri kedua negara Tun Hussein Onn pada tahun 1977 sebagai timbalan menteri kewangan ketika berusia 34 tahun.

"Saya dilantik dalam keadaan tidak mengetahui segala-galanya, saya terpaksa belajar sambil bekerja! Pastilah suasana berlainan daripada mengajar," kata bekas pensyarah ekonomi Universiti Malaya itu.




Langkah beliau ke dalam politik menarik beberapa persamaan dengan beberapa anggota Parlimen HARAPAN yang dilantik sebagai menteri kabinet seperti Menteri Pendidikan Maszlee Malik (gambar) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.

Rafidah menasihati mereka supaya menjalankan amanah dalam peranan baru mereka.

"Jika kepimpinan telah berikan kepercayaan kepada kamu mengambil sesuatu peranan (amanah), ini bukan main-main, ini bukan konsert.

"Untuk mengambil peranan, satu perkara penting adalah memahami peranan anda dan memahami apa yang diperlukan dalam tugas anda.

"(Jangan cuma) duduk bersenang-lenang dengan kerja yang mudah dan mempunyai seseorang untuk menulis ucapan kamu untuk lima tahun akan datang," katanya.

Tiada ulasan: