Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tidak timbul persoalan dalam pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor yang baru.
Sebaliknya, Wan Azizah berkata semua pihak sedia maklum bahawa Amirudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua merupakan antara yang disenarai pendek sebagai calon untuk menjawat jawatan berkenaan.
“Saya ingat perkara itu (soal tak dapat restu HARAPAN) tidak berbangkit kerana salah satu cadangan (calon menteri besar) adalah Amirudin.
“Beliau pun telah angkat sumpah sebagai menteri besar, jadi kita perlu teruskan (pentadbiran) kerajaan negeri dengan barisan exco sedia ada,” katanya kepada pemberita di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad dalam sidang medianya mendakwa pelantikan Amirudin sebagai menteri besar Selangor yang baru tidak mendapat restu HARAPAN.
Kenyataan itu dibuat kira-kira sejam sebelum Amirudin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-16.
Idris sebaliknya mendakwa beliau adalah calon untuk jawatan itu yang mendapat persetujuan daripada semua parti HARAPAN.
Idris juga mengemukakan surat sokongan pemimpin Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor.
Satu lagi surat sokongan yang dikemukakan Idris ditandatangani oleh Wan Azizah sendiri.
Dalam semua empat surat berkenaan yang ditandatangani awal bulan ini, nama Idris adalah calon tunggal yang dikemukakan oleh setiap parti.
Sementara itu, mengulas lanjut kenyataan Idris, Wan Azizah berkata ia hanyalah pandangan peribadi ADUN Ijok itu.
“Itu pandangan peribadi (Dr Idris), lagi pun parti memang telah cadangkan beberapa nama dan ini termasuk Amirudin,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan