Teka-teki jawatan yang bakal ditandingi bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terjawab petang nanti selepas beliau dijangka menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan tertinggi PKR.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu kini berada di Singapura atas urusan rasmi dijangka akan menyerahkan borang pencalonan dengan diwakili Setiausaha Politiknya.
Tumpuan pastinya terarah kepada Azmin sama ada beliau akan terus mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya ketika ini.
Atau bakal mencabar ‘bosnya’, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding jawatan Presiden PKR bagi membuka laluan untuknya ke Putrajaya.
Jika mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR, Azmin bakal berdepan cabaran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengesahkan pencalonannya bagi jawatan itu.
Azmin dijangka akan menyerahkan borang pencalonannya jam 5 petang nanti.
Bagaimanapun, mengikut sumber PKR, Azmin dijangka akan mencabar Anwar bagi merebut jawatan Presiden PKR yang dikosongkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Keputusan itu dijangka dibuat Azmin memandangkan beliau kini mendapat sokongan penuh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berani ataupun tidak Azmin untuk mencabar jawatan utama itu bakal terjawab petang nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan