Pengundi Balakong boleh menilai tahap kerjasama antara MCA dan PAS dalam membuat pemilihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.
Calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki, berkata beliau tidak gentar dengan kerjasama antara MCA dan PAS dalam kempen kerana yakin pengundi di situ bijak menilai keutuhan kerjasama itu.
“Kerjasama PAS dan MCA bukan pertama kali, saya rasa penduduk ada kebijaksanaan sendiri untuk menentukan siapa yang mereka akan sokong. Ini bukan soal pemimpin kata pergi (undi) siapa dan kita pergi undi.
“Semua orang ada kebijaksanaan sendiri menilai siapa yang boleh membawa satu masa depan yang lebih ceria dan cerah kepada Balakong dan mereka sendiri. Saya tidak bimbang mengenai kehilangan sokongan pengundi PAS,” katanya.
Siew Ki, 32, berkata demikian selepas melancarkan manifesto PH untuk PRK Balakong, Bangi, pada Selasa.
Dua hari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik berkata, parti itu akan bekerjasama dengan MCA dalam PRK Balakong.
Sementara itu, Siew Ki juga melahirkan keyakinan bahawa keputusan MCA untuk menggunakan logo parti itu tidak akan menjejaskan kempennya dalam meraih sokongan pengundi di Balakong.
Katanya, ini berikutan parti itu akan berdepan masalah untuk memperjelas mengenai penggunaan logo MCA kepada pengundi disebabkan sudah lama menggunakan logo Barisan Nasional (BN).
“Mereka (MCA) akan menghadapi masalah sama seperti PH untuk menerangkan penggunaan logo PH kepada pengundi.
“Bagaimanapun, kami tidak berdepan masalah kerana penduduk di sini sudah biasa dan mengalu-alukan logo PH,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan