Semua pihak dinasihatkan untuk mematuhi etika yang ditetapkan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia.
Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Haji Md Yusop Haji Mansor berkata calon, parti politik dan penyokong diminta untuk mematuhi undang-undang, peraturan dan arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, PDRM atau pihak berkuasa lain.
“SPR menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang pilihan raya seperti aktiviti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan serta mengadakan aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.
“Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku, tindakan boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebagai info, tempoh rasmi berkempen bagi kedua-dua PRK Balakong dan Seri Setia ialah selama 21 hari bermula dari Hari Penamaan Calon sehingga jam 11.59 malam pada 7 September 2018.
Mengulas lanjut, Yusop turut menyeru mana-mana individu untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang sepanjang tempoh kempen.
Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya menghentikan sebarang bentuk kempen dan rayuan undi pada hari pengundian iaitu 8 September nanti.
“SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa pada Hari Mengundi semua bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang.
“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan