Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan PKR akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia nanti.
Beliau berkata, pihaknya yakin perkara itu akan dipersetujui oleh pemimpin komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
“Secara dasarnya kerusi Seri Setia merupakan kerusi milik PKR. Atas persefahaman antara parti dalam PH, saya lihat ia bukan isu besar.
“Kami akan menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman rasmi,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 di Pusat Konvensyen Shah Alam, pada Isnin.
Mengenai calon yang akan ditampilkan pada PRK DUN Seri Setia, Amirudin berkata, masih terlalu awal untuk memilih calon.
“SPR pun belum tetapkan (tarikh). Perkara ini juga memerlukan perbincangan di peringkat kepemimpinan parti,” katanya.
Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah usus.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Allahyarham Shaharudin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd. Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan