HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Ogos 2018

Saran lantik Guan Eng ke Khazanah satu provokasi, kata Azmin

 
Menteri hal ehwal ekonomi berkata Wee Ka Siong cuba melakukan provokasi apabila menyarankan Lim Guan Eng dilantik ke Khazanah.
 
 
 



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata saranan Barisan Nasional agar Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilantik ke lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad ialah satu provokasi.

Beliau berkata tidak perlu timbul soal melantik Lim ke syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan itu kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah membuat keputusan yang “tepat” dan “jelas”.

“Jadi tidak timbul soal saranan dari Ayer Hitam untuk lakukan provokasi,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Terdahulu, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) hairan kenapa Lim tidak dilantik lalu menyarankan kerajaan membuat pelantikan itu supaya menteri kewangan tahu apa yang berlaku dalam Khazanah.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Azmin sebagai ahli lembaga mewakili Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Kita tak mahu satu ketika nanti, menteri kewangan hanya boleh baca laporan akhir setiap tahun.
Kalau tak duduk dalam lembaga pengarah, susah dia nak jawab apa yang berlaku,” kata Wee kepada pemberita.

Azmin berkata lantikan ahli lembaga pengarah lain akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan di media sosial mengatakan sejumlah wang masuk ke akaun peribadi, Azmin mencabar pihak terbabit mengemukakan bukti ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga percaya dakwaan-dakwaan itu permainan politik menjelang pemilihan parti PKR bulan ini.

“Saya telah lalui semua ujian ini,” katanya.

Tiada ulasan: