Kerajaan mahu jaminan mereka akan menggunakan simpanan sendiri tanpa dibiayai sumber haram daripada Umno.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmin Ali sedia membawa cadangan membenarkan 1,200 calon jemaah haji yang ditaja Yayasan 1MDB meneruskan ibadat itu tahun ini menggunakan wang simpanan sendiri.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata 1,200 terbabit tidak boleh mengisi kuota haji tahun ini kerana pembiayaannya daripada sumber haram.
“Sekiranya jaminan diberikan mereka hanya akan menggunakan simpanan sendiri tanpa dibiayai oleh sumber haram daripada Umno, maka saya bersedia membawa rayuan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya dalam ucapan penggulungan titah Aging di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) merayu kerajaan supaya membenarkan 1,200 calon jemaah haji mengisi kuota tambahan khas yang disediakan untuk mereka agar dapat menunaikan ibadat itu tahun ini.
“Untuk pengetahuan menteri, kuota ini bukan daripada sedia ada,” katanya.
Sebelum ini kerajaan PH memutuskan program Khas Haji tajaan Yayasan 1MDB tidak diteruskan memandangkan sumber dana tersebut mempunyai kaitan dengan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sejak 2011 hingga tahun lepas, seramai 5,711 jemaah haji telah ditaja dengan kos hampir RM57 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan