Oleh Izmil Amri | Foto: Hasful Zainuddin
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah semalam dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengharamkam perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur.
“Kalau mengharamkan terus (perkahwinan melibatkan kanak-kanak) saya sebenarnya tidak bersetuju, sebab dari segi agama ia tidak salah, tetapi kita boleh mengawal.
“Kita sudah ada undang-undang, mana-mana perkahwinan bawah umur perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri. Kita kuat kuasa undang-undang itu sajalah,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, dilaporkan Malaysiakini.
Tidak berhenti di situ, Nik Amar lanjut berkata bahawa perkahwinan bawah umur ‘tidak boleh diharamkan’.
“Perkara yang dibolehkan agama mengapa kita nak haramkan. Tetapi kalau mengawal itu bagus, takut orang ambil kesempatan,” kata beliau.
Namun Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Hannah Yeoh tidak terus membidas pendirian pemimpin PAS terbabit.
“Saya mahu memahami minda ibu bapa kanak-kanak yang merasakan adalah ‘okay’ untuk menikahkan (anak-anak mereka). Hanya jika kita memahami perkara ini, barulah kita boleh menyelesaikan masalahnya,” kata beliau ketika ditemui.
“Jika kita tidak mengambil masa untuk memahami sebab kenapa ibu bapa sanggup menyerahkan anak mereka (untuk dinikahi), masalah tidak akan selesai.
“Saya berminat untuk melangkaui usaha mengharamkan pernikahan bawah umur. Orang dewasa berusia 20’an pun ramai yang tidak bersedia untuk bernikah, apatah lagi remaja di bawah umur 18 dan kanak-kanak,” jelas Ahli Parlimen Segambut itu.
“Saya lebih mahu memahami sebab dan punca; seperti apabila kita mengharamkan najis dadah dan mengenakan hukuman mati, masalahnya masih tidak selesai, masih ada yang menyalahgunakan dadah walaupun wujud undang-undang sedemikian.
“Kita mesti mengisi lompang-lompang itu, dan kerja tersebut tidak boleh selesai dalam masa yang singkat. Memberi pendidikan kepada ibu bapa misalnya, dan mendapatkan data terperinci tentang hal ini yang bagi saya sangat penting,” tambah ibu kepada dua orang anak itu.
Menurutnya, kini beliau juga mahu tahu data berapa banyak perkahwinan bawah umur ini yang ‘berjaya’ dan berapa banyak pula yang berakhir dengan perceraian.
“Berapa ramai yang hidup bahagia, apa tekanan yang mereka hadapi, bagaimana pula dengan masalah-masalah kesihatan yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak ini? Tanpa maklumat begini, sukar bagi kita untuk menyelesaikan masalah yang mendasari isu perkahwinan kanak-kanak.
“Kementerian perlu mendapatkan data-data ini daripada mahkamah syariah (bagi perkahwinan muslim) dan Kementerian Dalam Negeri (bagi perkahwinan bukan-muslim), itu belum ditambah perkahwinan adat di Sabah dan Sarawak. Ini bukan soal agama semata-mata.
Katanya lagi, perlu juga ada kefahaman tentang perbezaan antara seorang lelaki berusia 40 tahun ingin menikahi kanak-kanak berusia 11 tahun, dengan seorang remaja lelaki 18 tahun ingin bernikah dengan remaja perempuan berusia 16 tahun kerana mereka sedang bercinta.
“Senario ini sangat berbeza. Motivasinya juga berbeza.”
“Pihak kementerian sekarang sedang berbincang dengan beberapa menteri lain yang terlibat (undang-undang dan agama). Kami semua sependapat bahawa perkahwinan kanak-kanak mesti diharamkan, tetapi bagaimana dan bila itu sedang diusahakan sekarang.
“Bukan sahaja di peringkat pusat, negeri-negeri juga akan perlu meminda enakmen masing-masing. Cabarannya yang jelas kini di Kelantan seperti yang telah dilaporkan media. Sekiranya ia tidak dilakukan secara menyeluruh, mereka yang ingin menikahi kanak-kanak hanya perlu pergi ke Kelantan (contohnya),” katanya.
Isu perkahwinan kanak-kanak tercetus berikutan laporan pernikahan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan; setelah bercinta dengan kanak-kanak itu seawal usia 7 tahun. Lelaki tersebut juga dilaporkan sudah mempunyai dua orang isteri dan enam orang anak. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan