HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Ogos 2018

Seragam pindaan had umur kahwin seluruh negara


Musa Awang
Musa Awang
 
 
SHAH ALAM - Cadangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuat pindaan had umur minimum perkahwinan bagi perempuan kepada 18 tahun berbanding 16 tahun di bawah undang-undang sedia ada adalah langkah terbaik bagi mengelakkan darurat lebih besar dan wajar dilaksanakan secara seragam dengan negeri-negeri lain.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata, tindakan itu adalah lebih baik daripada melarang terus perkahwinan di bawah umur kerana ia akan mendorong masalah lain seperti bernikah tanpa kebenaran di Selatan Thailand dan sebagainya.

"Meminda undang-undang untuk menaikkan had umur ke 18 tahun dalam konsep qawaid fiqhiyyah ialah mengambil darurat yang kecil untuk mengelakkan darurat yang lebih besar.

"Kami juga menyeru negeri-negeri lain ambil pendekatan yang sama, supaya cadangan pindaan ini dapat dilaksanakan di seluruh negara," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mais cadang pinda had umur kahwin bagi wanita]

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Mais dan Dewan Undangan Negeri Selangor untuk turut mengkaji peruntukan penalti bagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran atau berpoligami tanpa kebenaran yang lapuk.

"Penalti yang dikenakan amat rendah berbanding keadaan ekonomi semasa," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, juga turut bersetuju dengan cadangan pindaan, namun dalam masa sama pengecualian masih perlu diberikan.

"Ringkasnya saya boleh bersetuju dengan cadangan tersebut setelah mengambil kira pelbagai perkara seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan anak bawah umur. Namun begitu kenaikan umur tersebut mestilah juga mengekalkan pengecualian yang boleh diberikan oleh Mahkamah Syariah.

"Kebenaran untuk berkahwin yang diberikan oleh Mahkamah Syariah adalah perlu dan boleh diadakan SOP khusus bagi mendapatkan kebenaran tersebut," katanya.

Tiada ulasan: