Kes Eric Chia: Rayuan pendakwa disebut semula 14 April.
KUALA LUMPUR . - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 14 April depan untuk sebutan semula kes rayuan pihak pendakwa raya yang tidak berpuas hati terhadap pembebasan bekas pengarah urusan, Perwaja Steel Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock daripada tuduhan pecah amanah RM76.4 juta.
Tarikh sebutan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar, Kee Mohd. Thariq K. Zainalabidin di kamar beliau hari ini. Rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Lim Yee Lan
Pihak pendakwa sebagai perayu diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat yang turut menyebut bagi pihak responden (Eric Chia).
Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden telah memberitahu bahawa notis rayuan itu difailkan sebaik selepas Mahkamah Sesyen di sini menyampaikan keputusan penghakimannya pada 26 Jun tahun lalu.
Pada 26 Jun 2007, Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir telah melepas dan membebaskan Eric Chia daripada tuduhan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta tanpa memanggilnya membela diri. Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan dijalankan selama tiga tahun.
Eric Chia, 75, dituduh pada 10 Februari 2004 melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur mengarahkan pembayaran wang sebanyak RM76.4 juta kepada akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd. di Hong Kong bagi kerja teknikal di kilang syarikat itu di Gurun, Kedah, sedangkan bayaran tidak sepatutnya dibuat.
Bagi tuduhan yang dipinda, beliau didakwa meluluskan secara tidak jujur wang itu dengan mengadakan perjanjian dengan NKK Corporation dari Jepun dan mengarahkan pembayaran wang itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd.
Eric Chia didakwa melakukan kesalahan itu sebagai pengarah urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd. di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P.Ramlee antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan