Lingam bayar separuh tambang pengangkutan di NZ.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat klip video V.K. Lingam diberitahu bahawa bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin dan Lingam berkongsi membayar tambang pengangkutan antara dua bandar raya di New Zealand semasa percutian mereka dan keluarganya pada 1994.
Eusoff, yang ketika Ketua Hakim Negara, berkata beliau hanya membayar separuh daripada kos pengangkutan itu untuk sebuah van dari Christchurch ke Queenstown setelah Lingam menawarkan untuk membayar separuh lagi tambang tersebut.
Bekas Ketua Hakim Negara itu berkata beliau, isterinya Toh Puan Rosaini Mustaffa dan dua orang anaknya, Zubaidah dan Johan, telah menyewa sebuah van agensi pelancongan yang dipandu oleh rakyat New Zealand ke Queenstown.
Wakil Majlis Peguam Ranjit Singh bertanya kepada Eusoff kenapa beliau tidak memberitahu Lingam bahawa beliau tidak akan berkongsi van dengan beliau (Lingam) dan keluarganya kerana adalah salah bagi seorang hakim berbuat demikian kerana Lingam ialah seorang peguam yang pernah mengendalikan kes di mahkamah beliau.
Eusoff menjawab bahawa van itu boleh muat antara empat dan sembilan orang dan "kami ada lapan orang".
Ranjit Singh juga menanyakan sama ada Lingam peroleh program percutian Eusoff dan merancang lawatan itu hanya untuk rapat dengan Eusoff.
Eusoff menjawab: "Saya tidak boleh katakan apa yang beliau (Lingam) fikir tetapi Hakim Datuk Edgar Joseph Jr, yang baru balik dari New Zealand, memberitahu saya bahawa negara itu adalah tempat yang menarik itu dilawati.
"Saya kemudian minta setiausaha saya menghubungi ejen pelancongan untuk mengaturkan lawatan untuk saya selama seminggu atau lebih.
"Bagaimanapun, beliau (Lingam) mahu ikut saya. Itu di luar kawalan saya." BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan