HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Jun 2018

PRU14, parti kiri dan fenomena Razak Ahmad




“Sejarah berulang – kali pertama sebagai tragedi, kali kedua sebagai jenaka sandiwara”. – Karl Marx

DI sebalik kisah tumbangnya Barisan Nasional dan bangkitnya kerajaan baru Pakatan Harapan, ada cerita tentang parti-parti kecil yang mencuba nasib dalam Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.

Kesemua calon parti-parti tersebut kalah teruk dan hilang deposit. Mengikut peraturan pilihan raya, hilang deposit bererti mendapat kurang daripada 1/8 atau 12.5% daripada jumlah undi yang sah.

Walaupun ada banyak parti kecil, yang disentuh dalam tulisan ini hanyalah dua parti yang berteraskan perjuangan rakyat – satu yang menganggap dirinya sosialis manakala satu lagi merupakan bekas sosialis. Kedua-duanya boleh dianggap sebagai parti kiri.

Parti Rakyat Malaysia

Parti Rakyat Malaysia asalnya ditubuhkan pada 1955. Ia menjadi legenda kiri yang pernah bergabung dengan mantan Parti Buruh untuk membentuk Socialist Front. Tekanan pemerintah Perikatan melumpuhkan kedua-dua parti itu. Pada akhir 1960-an, Parti Buruh terbubar manakala PRM terus berjuang dengan nama baru Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Era 1970-an menjadi zaman pancaroba buat gerakan kiri. Walaupun begitu ia tidak menghalang pimpinan PSRM untuk bersama puluhan ribu mahasiswa bergerak dalam demonstrasi membela petani miskin di Baling, Kedah; Telok Gong, Selangor serta Tasik Utara, Johor.

Pada masa itu, selain pimpinan pusat seperti Kassim Ahmad dan Syed Husin Ali, nama-nama baru muncul di Johor seperti Hassan Karim dan Abdul Razak Ahmad. Mereka merupakan penggerak parti dalam mengharungi dekad 1970-an dan 1980-an.

Parti Sosialis Malaysia

Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, keruntuhan empayar Soviet Union serta sekutu-sekutunya melemahkan gerakan kiri. Pucuk pimpinan PSRM membuat keputusan untuk kembali kepada nama asal PRM tetapi turut membuang sosialisme daripada ideologi parti.

Keputusan itu menyebabkan beberapa pemimpin tidak puas hati dan keluar parti. Mereka mahu menubuhkan parti berideologikan sosialisme. Hasrat itu tercapai apabila parti yang dikemukakan pendaftaran pada 1998 diluluskan pada 2008 setelah menempuh pelbagai rintangan. Lahirlah Parti Sosialis Malaysia atau PSM.

Siapa Razak Ahmad

Kembali kepada PSRM, ia merupakan pembangkang berwibawa di Pulau Pinang dan Johor sepanjang era 1980-an. Di Johor, nama Razak Ahmad (1939-2007) seorang peguam dan pemimpin PSRM Negeri menjadi terkenal dengan kelantangannya membela rakyat marhaen.

Pada 1986, beliau membantah lawatan Presiden Israel, Chaim Herzog ke Singapura dengan membaringkan diri di atas landasan keretapi Johor Bahru sebagai sebagai aksi simbolik terhadap rejim Israel menindas rakyat Palestin.

Pada PRU 1982, Razak mewakili PSRM untuk bertanding melawan calon BN, Shahrir Samad, bagi kerusi Parlimen Johor Bahru. Beliau tewas apabila mendapat 21,288 undi atau 30% undi berbanding Shahrir yang memperolehi 47,825 undi atau 69%. Majoriti yang diperolehi BN adalah 26,537 undi.

Namun, populariti Razak melonjak pada PRU 1986 apabila berjaya mengurangkan majoriti Shahrir bagi kerusi yang sama. Razak memperolehi 17,114 undi atau 47% walaupun tewas kepada penyandang BN itu yang mendapat 19,349 undi atau 53.06% dengan majoriti 2,235 undi sahaja.

Apabila berlaku krisis kepimpinan UMNO yang menyebabkan mahkamah mengharamkan UMNO pada Februari 1988, Shahrir yang melawan Presiden UMNO Dr Mahathir Mohamad telah mengosongkan kerusinya untuk bertanding semula sebagai calon bebas bagi membuktikan popularitinya. Pada masa itu belum ada undang-undang yang melarang mana-mana Ahli Parlimen yang meletak jawatan bertanding semula dalam tempoh lima tahun.

Kedegilan Razak Ahmad

Sebelum PRK Johor Bahru diadakan, Razak dan PSRM telah terlebih dahulu berjaya dalam tuntutan mereka untuk mengadakan semula pilihan raya bagi kerusi Dewan Negeri Tanjong Puteri. PRK itu diadakan pada Mac 1988 di mana Razak tewas dengan tipis sekali, iaitu hanya kalah 31 undi sahaja. Beliau mendapat 10,150 undi manakala calon BN 10,181 undi.

Kekalahan yang dilihat sebagai kejayaan itu memberi semangat kepada Razak untuk terus berjuang.
PRK Johor Bahru pada Ogos 1988 membuka ruang kepadanya untuk mencuba sekali lagi.

Bagaimanapun, umum melihat PRK Johor Bahru sebagai pertembungan antara dua kem bertentangan dalam UMNO. Namun, Razak dan PSRM yakin bahawa kekalahan tipisnya akan memberi kelebihan kepadanya. Nasihat kawan dan pemerhati politik tidak dipedulikan. PSRM masuk bertanding sebagai calon kancil dalam persaingan antara dua gajah.

Shahrir menang dengan majoriti yang lebih besar, iaitu 12,613 undi. Beliau mendapat 23,581 undi atau 64% menewaskan calon BN yang memperolehi 10,968 undi (30%). Razak hanya mampu meraih 2,260 undi (6%) dan hilang deposit.

Berulangnya malang 30 tahun

PRU 2018 menyaksikan kedua-dua PRM dan PSM mengulangi fenomena Razak Ahmad. Di kala majoriti rakyat hanya mahu menumbangkang BN, kedua-dua parti kiri itu membawa isu lain yang tidak dipedulikan pengundi.

PRM yang dikenali sebagai parti hidup segan mati tak mahu yang tiba-tiba memperolehi suntikan kewangan telah bertanding di 5 kerusi Parlimen dan 33 DUN. Entah dari mana datangnya calon-calon mereka yang begitu ramai setelah sekian lama tidur nyenyak. PSM pula yang dilihat ramai sebagai parti anti-Mahathir yang memuja ideologi bertanding di 4 kerusi Parlimen dan 10 DUN.

Mereka kalah teruk di semua kerusi. Malah, satu-satunya kerusi yang disandang wakil PSM Dr Jeyakumar Devaraj di Parlimen Sungai Siput di Perak sejak 2008 (atas nama Pakatan Rakyat dengan logo PKR) turut hilang apabila tewas serta hilang deposit.

Apa pun, kekalahan teruk itu bukan bererti fahaman kiri ditolak. Unsur-unsur progresif juga ada pada pimpinan Pakatan Harapan, khususnya dalam hal-ehwal peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan dan pelbagai lagi kemudahan rakyat.

Pada masa yang sama, pilihan raya bukan medan memilih ideologi. PRU14 adalah penentu nasib depan rakyat, hal-hal kos sara hidup serta ekonomi rumahtangga, dan hidup mati untuk Pakatan Harapan serta Barisan Nasional. Ia bukan ruang untuk menguji kekuatan atau mencuba nasib.

PRM dan PSM tidak belajar daripada sejarah kalangan mereka sendiri. Mereka lupa dengan ejekan Karl Marx tentang sejarah. Mereka terbenam seperti kata-kata ahli falsafah George Santayana, “mereka yang lupa sejarah akan ditakdirkan mengulanginya semula”.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

Tiada ulasan: