Mukhriz yang juga naib presiden Bersatu berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan blok pembangkang yang diwakili Barisan Nasional (BN) dan PAS untuk menyelesaikan masalah itu.
"Kami merancang untuk mengadakan persidangan DUN yang pertama pada 1 Julai. Jadi sebelum itu, kita perlu menemui satu penyelesaian dan saya fikir ia sudah berjalan dan saya tidak terlalu risau mengenainya," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, PH melalui empat parti komponennya iaitu PKR, Bersatu, Amanah dan DAP memperoleh 18 kerusi daripada keseluruhan 36 DUN yang dipertandingkan, manakala PAS memperoleh 15 dan tiga kerusi milik BN.
Bagaimanapun sekiranya seorang Adun PH dilantik sebagai speaker, mereka akan kehilangan majoriti dalam dewan jika PAS dan BN mahu "bergabung".
Mukhriz sebelum itu sudah bertemu semua Adun PAS dan Umno untuk mendapat persetujuan mereka namun ia dibantah oleh PAS Kedah yang mahukan penglibatan pemimpin tertinggi parti masing-masing.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dilaporkan berkata pertemuan antara Mukhriz bersama Adun pembangkang tidak memadai tanpa kepimpinan tertinggi komponen PH, PAS dan BN negeri untuk duduk semeja berunding mengenai isu tersebut.
“PAS akan terus bertegas berhubung isu pelantikan speaker DUN ini yang mana setiap tindakan diambil perlulah mengikut kaedah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh negeri.
“Adun hanyalah wakil kepada parti politik dan disebabkan itu kami mahu perbincangan mengenai pelantikan speaker turut melibatkan rundingan antara kepemimpinan tertinggi di peringkat negeri parti terlibat. Bagi PAS Kedah, kami bersedia ke arah itu,” katanya dilapor Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan