Ketua Pemuda Umno itu mengumumkan langkah politiknya dalam satu wawancara dengan South China Morning Post di pejabatnya di Ibu Pejabat Umno, yang kemudian dihebahkan melalui Twitter.
Masukan di Twitter oleh wartawan SCMP itu kemudiannya diulang siar oleh Khairy melalui akaunnya @khairykj.
Dengan pengumuman ini, Khairy adalah pemimpin Umno yang kedua, atau mungkin ketiga, yang mengumumkan hasrat bertanding merebut salah satu daripada tiga kerusi naib presiden.
Minggu ini, bekas Menteri Kewangan Kedua, Abdul Johari Ghani turut mengumumkan mahu bertanding jawatan naib presiden untuk membantu usaha memulihkan parti itu. Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Tajuddin Abdul Rahman dijangka membuat pengumuman sama sama, Ahad ini.
Pengumuman Khairy ini tidak mengejutkan. Beliau memang dijangka akan mengambil langkah politik itu kerana harus melepaskan kedudukan sebagai ketua sayap Pemuda sekarang.
Sementara itu orang kanan Khairy dalam sayap Pemuda, Senator Khairul Azwan Harun menawarkan diri untuk menggantikan Khairy sebagai Ketua Pemuda Umno.
Khairul yang sebelum ini menjawat jawatan Naib Ketua sayap itu berkata beliau akan memastikan Umno berjaya melalui "proses pemulihan dan pembaharuan hakiki" dan mendapatkan sokongan anak muda untuk parti itu selepas tewas mengejut dalam pilihan raya umum lalu.
"Saya yakin dengan peluang yang ada selaku seorang senator serta pengalaman sebagai Naib Ketua dan sokongan akar umbi pemuda seluruh negara, kita akan berjaya membawa agenda pembaharuan ini.
"Kita juga akan membina Pemuda sebagai 'check and balance' yang berwibawa kepada kerajaan Pakatan Harapan serta mencari lebih ramai pemimpin muda yang segar dan berani dalam menjuarai aspirasi rakyat,"kata beliau.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pendaftaran pemilihan Umno 2018 boleh dibuat secara atas talian atau manual bermula 1 Jun sehingga 17 Jun ini.
Selepas tempoh itu, ibu pejabat UMNO akan mempamerkan senarai akhir pencalonan yang melepasi kelayakan bertanding. Pemilihan akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Jun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan