Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin hari ini berkongsi pemerhatiannya menghadiri persidangan parlimen selama menjadi wakil rakyat.
Melalui kenyataan di Facebook, Hanipa berkata sesetengah anggota parlimen dilihat lebih "aktif dan segar" apabila berbahas isu aurat berbanding isu rasuah dan salah guna kuasa.
"Semalam di parlimen, ada beberapa anggota parlimen membangkitkan isu penutupan aurat ketika Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia (Anthony Loke) sedang menggulung. Saya ada di dewan masa itu.
"Pengalaman saya di dalam dewan dan melihat setengah anggota parlimen (beragama) Islam berbahas, saya lihat bila isu seperti itu timbul, relatifnya para wakil rakyat parti itu agak aktif dan segar untuk berbahas dibandingkan isu-isu lain seperti isu rasuah, isu salah guna kuasa, isu pembaziran dan isu-isu lain yang jejaskan kehidupan rakyat," katanya tanpa menyebut parti yang dimaksudkan.
Pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat semalam, Loke mengulas isu seragam pramugari yang disifatkan tidak menepati kehendak syariah.
Isu berkenaan dibangkitkan Anggota Parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff ketika perbahasan diraja 25 Julai lalu.
Ketika itu, Siti Zailah antara lain berkata ada wanita beragama Islam yang bekerja sebagai pramugari terpaksa membuka tudung demi mencari rezeki.
Susulan itu, Loke sebagai menteri pengangkutan semalam menjelaskan bahawa kerajaan tiada masalah jika pramugari beragama Islam memilih pakaian yang menepati kehendak syariah, selagi ia mematuhi kriteria yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta syarikat penerbangan.
Loke bagaimanapun berkata kerajaan ketika ini tiada perancangan untuk mengubah dasar sedia ada.
Mengulas kenyataan itu, Siti Zailah berkata beliau sudah mendengar jawapan sama berbelas tahun namun tiada perubahan baru berhubung perkara itu.
Perbahasan itu kemudian disertai Anggota Parlimen PAS Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali yang bertanya sama ada kerajaan akan menggesa Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk membenarkan pramugari beragama Islam untuk memakai tudung ketika bertugas.
Menjawab soalan itu, Loke berkata beliau akan berbincang dengan pengurusan MAB tetapi menjelaskan setakat ini belum ada apa-apa perubahan daripada peraturan sedia ada.
Anggota Parlimen PAS Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi pula mempersoalkan seragam pramugari syarikat penerbangan negara ini yang menurutnya lebih mencolok mata berbanding syarikat penerbangan luar negara.
Mengulas perkara itu, Loke meminta pihak yang merasakan seragam pramugari terlalu mencolok mata untuk 'mengalihkan pandangan' mereka.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Hanipa berkata, walaupun perbahasan seumpamanya tidak salah namun ia akan menimbulkan persepsi bahawa wakil rakyat mengamalkan politik "reductionist".
"Jujurnya, akan wujudnya satu ironi. Kita seolah-olah cuba lantang membela Islam, tapi dalam masa yang sama Islam pula akan dilihat lekeh oleh setengah pihak. Kerana apa? Kerana kita akan dilihat cuba reduce Islam to (mengurangkan nilai Islam kepada) hukum semata-mata.
"Pendapat sayalah. Tak ada masalah nak marah (kalau tak setuju), Saya mungkin salah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan