HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2015

Memberi dan menerima di Pasar Percuma Boco

 
Pasar Percuma Boco, atau #Bocofreemarket, bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan, terutama warga miskin kota yang pastinya paling tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.
 
 
 
wani-ardy_boco_600


KUALA LUMPUR: “Kita berharap kepada kebaikan orang luar (kindness of strangers),” kata Wani Ardy, penggerak kolektif Boco tentang Pasar Percuma Boco, atau #Bocofreemarket yang dianjurkannya.

Hari Ahad, 20 Disember 2015. Jam 6 petang. Di satu sudut ibu kota yang tidak termasuk dalam pamflet ‘Visit Malaysia’, sekumpulan anak muda dan anak tua saling memberi dan menerima. Jalan Panggung yang terletak di pinggir Jalan Petaling jadi meriah setiap petang Ahad.

Mereka yang datang ke Pasar Percuma Boco ini daripada pelbagai peringkat usia, kaum dan latar belakang. Tidak jauh dari situ, krew Dapur Jalanan (kolektif yang menyediakan makanan percuma kepada sesiapa sahaja sejak 2013) baru bermula.

Mengharapkan kebaikan orang luar? Di saat realiti kehidupan yang kian mendesak dan membangkitkan individualisme setiap orang, bukankah ia suatu harapan yang keterlaluan?

“Alhamdulillah, walaupun dengan masa hebahan yang singkat, kita menerima barang-barang yang lebih daripada keperluan,” katanya lagi.

Menurut Wani, tujuan Boco menganjurkan pasar percuma ini adalah bagi membantu golongan yang memerlukan, terutama warga miskin kota yang pastinya paling tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Ia tak libatkan jual beli dan wang ringgit. Kita memberi barang-barang percuma tanpa sebarang diskriminasi, tetapi tentulah kita mengutamakan golongan miskin bandar dan gelendangan.

“Namun sesiapa sahaja boleh datang dan ambil, ada juga datang dengan barang untuk disumbangkan. Pendek kata, memberi dan menerima,” katanya lagi.

Ini adalah pasar percuma pertama yang diadakan Boco, yang sebelum ini lebih aktif menganjurkan acara kesenian dan sastera.

“Selama ini kami hanya bantu usaha daripada NGO dan kolektif lain, seperti Frinjan, Dapur Jalanan dan Buku Jalanan.

“Dari situ, kita banyak belajar, terutama kecenderungan dan keperluan golongan miskin kota dan gelendangan. Apa yang mereka cari dan sukar untuk dapat.”

Nampaknya saya tiba lewat. Hampir separuh daripada barangan yang disusun di atas tikar sudah menemui pemilik baru.

Di satu bahagian, ada seorang wanita, mungkin dalam lingkungan 30-an, sedang membelek beberapa kasut sekolah, yang walaupun tidaklah nampak baru, tetapi masih boleh digunakan. Di satu bahagian lain, seorang kanak-kanak memilih-milih buku-buku yang kemas berbalut.

Turut tersedia adalah sebuah kotak bagi sesiapa yang ingin menyumbangkan alat tulis kepada anak-anak di Madrasah Hashimiah, Selayang, Selangor.

Dalam masa sejam lagi, mereka perlu berkemas dan bergerak ke lokasi kedua pula, iaitu Chow Kit.

‘Kindness of strangers’, atau terjemahan longgarnya ‘kebaikan orang luar’ – adalah satu istilah yang indah. Lebih-lebih lagi di saat dunia (malah negara kita sendiri) tidak putus-putus berbalah dalam pelbagai hal.

Boco sedikit sebanyak membantu saya melabuhkan tirai 2015 yang melemaskan ini dengan senyuman dan harapan. Semoga mereka terus aktif pada tahun depan.

Bagi sesiapa yang ingin terlibat atau memberikan sumbangan, boleh hubungi mereka di laman Facebook, Instagran dan Twitter ‘Boco’.

Tiada ulasan: