HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2015

SPRM cadang pekeliling cegah rasuah kepada agensi kerajaan

 
 
SPRM boleh bertindak sekiranya agensi kerajaan gagal patuhi pekeliling 


Mustafar-Ali_sprm_600


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu pekeliling baharu dikeluarkan kepada agensi kerajaan yang mengandungi syor-syor penambahbaikan suruhanjaya itu dalam menutup ruang dan peluang rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata pekeliling itu akan menjadi garis panduan kepada kementerian, jabatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak-pihak berkaitan untuk mematuhi cadangan yang dikemukakan SPRM dalam kertas pemeriksaan dan perundingan.

Dalam pekeliling itu, katanya, akan menjelaskan secara terperinci antaranya mengenai saluran undang-undang sedia ada, sistem prosedur yang patut dilakukan serta carta aliran kerja.

“Sekiranya agensi kerajaan atau GLC gagal mematuhi syor penambahbaikan, maka ketua jabatan atau pihak terlibat boleh dikenakan hukuman seperti yang termaktub dalam pekeliling itu,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Mustafar berkata deraf pekeliling itu masih di tahap perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa dan adalah diharapkan ia dapat dipersetujui dan dikeluarkan tahun depan.

Beliau berkata SPRM mengemukakan syor penambahbaikan ke dalam kertas pemeriksaan dan perundingan yang dikeluarkan setiap tahun kepada agensi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, ada kalanya ketua jabatan atau pihak-pihak tertentu akan lewat dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan itu walaupun SPRM melakukan pemantauan berkala – tiga bulan, enam bulan dan satu tahun.

Beliau berkata kegagalan melaksanakan penambahbaikan itu merupakan satu perkara yang serius dalam urus tadbir.

“Ketua jabatan akan dipertanggungjawabkan terhadap ketidakpatuhan itu. Namun sekiranya, ketua jabatan telah mengarahkan pegawai tertentu untuk melaksanakan cadangan itu dan pegawai pula tidak mematuhinya, maka soal tindakan ketidakpatuhan akan diambil terhadap pengawai berkenaan,” katanya.

Mustafar menerangkan Akta SPRM 2009 Seksyen 7 (c), (d) dan (e) memberi kuasa kepada SPRM untuk menasihati dan membantu kementerian, jabatan atau mana-mana pihak sekiranya organisasi itu mempunyai masalah dalam sistem urus tadbir dan meminta SPRM menyelesaikannya.

“Dalam akta SPRM, ada peruntukan untuk hanya memastikan bagaimana kementerian dan jabatan mematuhi perakuan oleh SPRM berhubung dengan pemeriksaan dan perundingan.

Bagaimanapun , dengan adanya pekeliling itu, dengan klausa mengatakan jika gagal mematuhi pekeliling itu, tindakan boleh diambil. Kita hendak melibatkan kesepaduan antara penguatkuasaan dan pencegahan supaya dapat membanteras gejala rasuah secara keseluruhan,” katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: