KUALA LUMPUR,  Sekumpulan aktivis yang menggelar diri mereka Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) wajar diangkat sebagai wira kerana komited membantu menangani masalah jalan berlubang dan tidak berkualiti di Lembah Klang.

Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia berkata sejak lapan tahun lalu, Brotherhood yang diketuai oleh pengasasnya, Azlan Sani Zawawi menjadi suara pendesak dalam memastikan jalan raya kita berkualiti demi bakti mereka kepada masyarakat.

Malah katanya, bukan setakat itu, mereka juga terlibat aktif dalam menurap jalan yang rosak dan berlubang terutama yang berbahaya kepada para penunggang motosikal.

“Waktu operasi mereka tidak kira siang atau malam.

“Jika ada anugerah khas, Awang mahu menobatkannya kepada Brotherhood.

“Merekalah hero sebenar kerana sanggup berkorban masa, tenaga dan wang agar hak pengguna terhadap jalan raya berkualiti tidak dinafikan,” katanya.

Menurut Awang, kisah Brotherhood mengingatkannya kepada perjuangan yang sama oleh beberapa individu di luar negara antaranya seorang artis di India, Baadal Nanjunddaswamy.

Jelasnya, artis tersebut sanggup melakukan apa sahaja termasuk merendam badannya dalam jalan berlubang besar yang bertakung air di Kota Bangalore sebagai protes kepada pihak berkuasa.

“Di Malaysia, Brotherhood menjadi kebanggaan masyarakat namun janganlah berlarutan begitu kerana ia membawa makna.

“(Seolah-olah) banyak yang tidak kena dengan PBT di negara ini,” katanya.