SHAH ALAM: Penyatuan Umno dan PAS hanya akan mencetuskan perpecahan
dalaman dua parti berkenaan, kata bekas Presiden Abim, Amidi Abdul
Manan.
Justeru katanya, penyatuan itu bukan sahaja tidak mencapai objektif
malah berdepan dengan risiko parti mereka menjadi semakin lemah.
"Saya menjangkakan bukan Umno saja berpecah tetapi PAS juga akan
berpecah kali kedua. Saya tak nampak ada penyatuan sebab nanti akan ada
perpecahan lain. Jadi tak adalah penyatuan Melayu kalau diikutkan,"
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Amidi berkata, ahli akar umbi PAS terutamanya, masih trauma dengan
pengalaman mereka dikhianati Umno ketika dua parti itu bergabung suatu
ketika dahulu.
Malah sebaik sahaja Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menghulurkan
salam perpaduan kepada PAS, banyak reaksi kurang enak kedengaran baik
dari kalangan pemimpin mahupun ahlinya.
Melihat kepada perkembangan itu, Amidi berkata penyatuan Umno PAS sukar untuk dijayakan.
"Saya agak pesimis dalam perkara ini kerana Umno berada dalam keadaan
yang lemah, penyatuan dalam Umno dalam keadaan lemah, mereka sendiri pun
berpecah. Begitu juga dalam PAS, kebanyakan ahli-ahli di peringkat
bawah masih lagi keliru dan kenyataan daripada pelbagai individu dalam
pemimpin PAS pun masih belum betul-betul solid," ujarnya.
Beliau menambah, jika Umno dan PAS tetap mahu meneruskan perpaduan tersebut, asas penyatuan yang paling utama perlu sepakati.
"Asas penyatuan adalah jaminan hak individu tertentu dijaga. Jika dalam
penyatuan tidak jamin hak-hak tertentu, ia bersifat lakonan.
"Contoh suami isteri, mereka bersatu sebab hak suami atau hak isteri dijaga dengan baik.
"Adakah Umno mampu lakukan perkara itu? Sebab kalau tengok track rekod
dia pun...hak bukan Islam pun tak dijaga dengan baik malah hak orang
Islam sendiri pun bermasalah dengan Umno," katanya.
Minggu lalu Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar 2015 bersetuju untuk
menubuhkan jawatankuasa khas untuk menjadi orang tengah bagi memudahkan
laluan penyatuan Umno PAS demi perpaduan ummah.
Bagi Alumni Al-Azhar, Umno dan PAS selaku parti Melayu Islam terbesar
di negara ini perlu menjalinkan kerjasama yang melangkaui politik
kepartian.
Amidi ketika ditanya adakah jawatankuasa itu mampu memainkan peranannya
berkata, roh untuk bersatu perlu lahir daripada PAS dan Umno, bukannya
mengharapkan pihak lain untuk menjayakannya.
"Sebenarnya kesungguhan (untuk bergabung) itu bukan bergantung kepada
multaqa (jawatankuasa) itu tetapi kepimpinan (umno PAS)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan