Bantahan terhadap kekejaman rejim Israel perlu diterjemah dalam setiap perkara dan bukan hanya sukan semata-mata.
PETALING JAYA: Sayap pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong sekatan yang dikenakan terhadap dua atlit Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia, di Langkawi bermula 27 Disember ini.
Menyambut tindakan itu sebagai tanda solidariti yang berterusan kepada rakyat Palestin, Naib Ketua Pemuda Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bagaimanapun mengingatkan bantahan terhadap kekejaman rejim Israel perlu diterjemah dalam setiap perkara dan bukan hanya sukan semata-mata.
“Pemuda Amanah mengharapkan agar kerajaan konsisten dalam memastikan tidak berlaku sebarang hubungan dengan Israel seperti yang berlaku sebelum ini termasuklah penglibatan firma perunding Israel, APCO Worldwide dalam memberikan khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia,” tegas Amanah dalam satu kenyataan yang diterima FMT.
Dalam malam yang sama, Pemuda Amanah menegur sikap parti rakan, DAP, yang membantah sekatan kerajaan itu. Pada Sabtu, Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhe Min berkata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak menggunakan politik dan sentimen peribadi dalam acara kesukanan.
“Pada hemat kami, kenyataan tersebut sangat mengguriskan perasaan rakyat khususnya umat Islam dan pencinta keamanan sejagat yang sehingga kini sangat peduli terhadap nasib rakyat di negara Palestin,” kata Fakhrulrazi.
Menurut laporan media, Pengerusi Israeli Sailing Association (ISA), Gili Amir mendakwa penganjur menuntut dua peluncur itu supaya tidak bertanding menggunakan bendera Israel, tidak menggunakan sebarang simbol yang boleh dikaitkan dengan Israel pada pakaian atau papan luncur, dan tidak memainkan lagu rasmi rejim itu sekiranya mereka memenangi pingat emas.
Pasukan Israel secara rasmi mengundurkan diri dari kejohanan itu. ISA dilaporkan merancang untuk menyaman Malaysia kerana menghalang atlit mereka bertanding.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan