HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2015

Sultan Johor mengaku terkejut wanita bertudung guna vape

 
Baginda bertegas untuk mengharamkan penjualan vape di negeri itu kerana kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan


Sultan-Ibrahim_vape_johor_600


PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengaku baginda terkejut dan kurang senang melihat perbuatan wanita bertudung dan kanak-kanak yang menggunakan vape.

Menyedari budaya vape sebagai permulaan kepada satu bencana, baginda perlu berbuat sesuatu dan selepas membuat kajian, baginda membuat keputusan supaya penjualan vape diharamkan di negeri itu berkuatkuasa 1 Januari 2016.

“Saya bosan dengan karenah jabatan kerajaan peringkat negeri dan Persekutuan yang tidak boleh membuat keputusan tentang apa yang patut mereka lakukan.

“Mereka melengah-lengah manakala sesetengah ahli politik membuat kenyataan bodoh bahawa jika vape diharamkan, kerajaan akan hilang undi dan kepentingan usahawan Bumiputera akan terjejas.

“Saya tahu apa yang terbaik dan bertegas dengan keputusan untuk menghentikan penjualan vape bermula 1 Januari tahun depan, Mereka yang menentang pula hanya mengambil kira sudut perniagaan, Adakah anda tidak peduli kesihatan rakyat?

“Ada juga yang menentang termasuk ‘pelawak berbaju merah’ yang tidak tahu apa-apa tetapi memberi komen,” titah baginda dalam temubual eksklusif bersama akhbar The Star.

Baginda bertitah, apa yang ditakutinya telah menjadi kenyataan apabila polis menahan peniaga yang menjual ‘vape ganja’ (cecair vape berperisa ganja) dan ada sindiket yang menjalankan perniagaan menggunakan internet.

“Apa akan terjadi jika Johor membenarkan penjualan secara terbuka di pusat beli belah, kedai-kedai dan pasar malam?

Sultan Ibrahim mendedahkan baginda menerima banyak emel dan surat daripada seluruh negara terutama ibu bapa yang menyokong keputusan baginda mengharamkan penjualan itu.

Katanya, banyak negeri telah mengikut keputusan kerajaan Johor malah Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengeluarkan fatwa mengharamkan vape sama seperti shisha.

“Pada saya, pendidikan dan kesihatan rakyat tidak sepatutnya dipolitikan,” titah baginda.

Dalam temubual itu, baginda turut ditanya mengenai persepsi sesetengah ahli politik bahawa baginda membuat kenyataan melebihi bidang kuasanya.

Sultan Ibrahim bertitah, kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaannya dan baginda yang melantik kerajaan negeri maka berhak untuk memanggil dan menegur Menteri Besar dan pegawai kerajaan negeri lain pada bila-bila masa.

Baginda turut mengembalikan sejarah penubuhan UMNO di mana moyang baginda, Almarhum Sultan Ibrahim menyumbang wang untuk penubuhan UMNO dan mesyuarat pertama diadakan di istana di Johor.

“Biar saya ingatkan ahli politik yang tidak tidak tahu sejarah dan malas membaca buku sejarah- UMNO lahir di Istana Johor.

“UMNO hari ini bermula di istana, Itulah sejarah parti UMNO.

“itulah cara istana mengambil tanggungjawab pada saat penting dalam sejarah negara,” tegas baginda

Tiada ulasan: