HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2015

Belanja berhemah untuk sesi sekolah 2016

SINAR HARIAN


Persiapan Sekolah
Sebahagian orang ramai mengambil peluang cuti umum untuk membeli kelengkapan pakaian sekolah anak-anak mereka di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
 

KIRA-kira seminggu lagi sesi persekolahan 2016 akan bermula dan ibu bapa juga sudah mula sibuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak mereka.

Namun bukan semua barang keperluan persekolahan perlu dibeli baharu kerana ramai ibu bapa memilih berbelanja secara berhemah selain bijak dalam membuat perancangan perbelanjaan mereka.

Kakitangan swasta, Nur Shalina Mohd Yusof, 40, yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah berusia enam hingga 17 tahun, berkata dia telah merancang perbelanjaan persekolahan anak-anaknya itu sejak bulan lepas lagi.

Nur Shalina berkata, beliau telah mengasingkan wang daripada gaji bulan lepas untuk membeli pakaian sekolah manakala gaji bulan ini pula digunakan bagi menyediakan peralatan seperti beg, buku dan alat tulis.

"Saya hanya beli sehelai sahaja pakaian dan kasut untuk menyeronokkan anak-anak memasuki sesi baharu persekolahan.

"Mereka sebenarnya ada baju tahun lepas yang masih elok dan boleh digunakan. Selepas ini mungkin mereka pakai secara berselang-seli dengan baju baharu ini," katanya.

Sementara itu, tukang jahit, Muhammad Hamidon Abdul Rahman, 43, berkata beliau hanya membelanjakan sekitar RM200 bagi peralatan sekolah termasuk kasut dan alat tulis bagi dua anaknya memandangkan beliau dapat berjimat dengan menjahit sendiri pakaian seragam mereka.

"Disebabkan saya boleh menjahit, saya hanya beli kain pada harga RM7 semeter untuk buat baju sekolah mereka. Selebihnya saya fokus kepada buku sekolah dan kelengkapan lain," katanya.

Mohd Nur Hakim, 41, yang bekerja sendiri pula mengambil peluang promosi yang ditawarkan kedai pakaian untuk menyediakan kelengkapan tiga anaknya.

"Saya hanya membelanjakan kurang RM380 untuk mendapatkan promosi lima helai pakaian, dua kasut dan satu beg selain mendapat satu lagi beg sekolah secara percuma yang sememangnya menjimatkan," katanya.

Sementara itu, suri rumah Nastini Ramdan, 38, berkata harga kali ini lebih mahal dengan purata harga baju kurung dan kain bagi pelajar sekolah menengah sekitar RM69.90 sepasang berbanding RM64 sebelum ini.

Katanya harga seluar pelajar sekolah rendah juga naik RM39.90 berbanding RM37 sebelum ini, tidak termasuk baju kemeja dan kelengkapan lain yang rata-ratanya meningkat sehingga RM5 sepasang.

"Harga pakaian juga naik antara RM2 dan RM5 mengikut jenis barang yang kita beli. Terasa juga kenaikan ini tapi bajet untuk belanja memang setiap tahun saya akan lebihkan sedikit," katanya kepada Bernama

Ibu bapa dilihat mengambil peluang sempena cuti panjang sambutan Maulidur Rasul dan Hari Krismas yang yang disambung pula dengan cuti hujung minggu, untuk mengunjungi pusat membeli belah bagi mencari barang keperluan persekolahan anak mereka.  - Bernama




1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.