HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Disember 2015

DAP kecam penjelasan ‘derma’ RM2.6 bilion hanya tiga minit

Oleh Fatih Hassan Nordin
 
SUFI3192


KUALA LUMPUR: DAP kesal berikutan penjelasan mengenai ‘derma’ RM2.6 bilion yang ditunggu-tunggu ramai bukan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya dibuat timbalannya hanya dalam masa tiga minit.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata Najib tidak wajar menyerahkan tanggungjawab itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana dana itu dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau juga menyifatkan sidang Parlimen memberi keutamaan salah apabila mengambil masa singkat untuk penjelasan ‘derma’ sedangkan berjam-jam berbahas untuk menggantung Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

“Rakyat pasti tidak akan dapat menerima kenyataan ringkas seumpama itu, lebih-lebih lagi ia dijawab oleh Zahid bukan Najib. Ini akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap fungsi Parlimen,” katanya pada sidang media, hari ini.

Zahid hari ini hanya mengambil masa tiga minit untuk memberi penjelasan mengenai derma itu kononnya atas alasan skandal itu masih dalam siasatan dan tidak wajar dibincang kepada awam.

Malah, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak membenarkan sebarang soalan atau berbahas dengan jawapan Zahid itu.

Pada sidang media sama, Ketua Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY), Teo Kok Seong pula percaya pengundi akan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam sehari jika isu sebesar itu hanya dijawab dalam masa tiga minit,

Selain jawapan tiga minit itu, Chin Tong kesal berikutan sidang Parlimen dipendekkan dari 61 hari kepada 53 hari tahun depan sekaligus bimbang banyak isu rakyat tidak dapat dibahas dengan baik.

“Ia juga menyukar Ahli Parlimen membuat persediaan dalam sesebuah isu dan menyebabkan sesi Dewan Rakyat berlarutan hingga lewat malam,” katanya.

Tiada ulasan: