HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2015

Kelantan bakal goyah jika gagal lahirkan tokoh berkaliber hadapi PRU

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS gagal menampilkan tokoh politik yang berkaliber di Kelantan sejak pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, demikian kata bekas pemimpin parti Islam itu Hu Phang Chaw.
 
Beliau yang kini bersama Parti Amanah Negara (PAN) selepas kecewa dengan PAS berkata perkembangan itu menyaksikan kedudukan di Kelantan semakin goyah.
 
"Baru-baru ini Umno peringkat negeri Kelantan telah mengadakan seminar atau khusus tentang bagaimana untuk menawan semula Kelantan dan sambutannya begitu hangat sekali.
 
"Ia dihadiri hampir 2,000 orang peserta di mana mereka ini bukan daripada pimpinan (Umno) yang kita kenal tapi semuanya muka baru," katanya kepada Antarapos.
 
Hu menambah persediaan serta kesungguhan Umno Kelantan untuk mengambil alih pentadbiran Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat satu amaran kepada PAS.
 
"Mereka ini generasi yang baru dalam Umno dan semangat mereka begitu kuat.
 
"Saya juga telah membaca laporan berkenaan apa yang mereka bincang dalam perjumpaan itu dan saya nampak mereka begitu bersungguh-sungguh (untuk tawan Kelantan)," katanya.
 
PAS Kelantan tiada pemimpin berkaliber dan berpengaruh
 
Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Exco PAN Nasional secara peribadi menganggap pemergian Nik Aziz menyebabkan pengaruh serta kedudukan PAS di Kelantan goyah di samping ketiadaan tokoh berkaliber.
 
"Jadi saya mengakui dengan pemergian tok guru Nik Aziz PAS di Kelantan telah pun hilang satu ikon.
 
"Nak tonjolkan siapa mewakali PAS di Kelantan? (Datuk) Mohamad Amar (Nik Abdullah) tidak boleh selain dituduh dengan kes rasuah dan sebagainya.
 
"Begitu juga ustaz (Datuk) Ahmad Yaakob sebagai Menteri Besar tidak dapat meyakinkan rakyat Kelantan bahawa beliau mampu memimpin Kelantan seperti apa yang dilakukan tok guru Nik Aziz," katanya.
 
Ujar Hu lagi, meskipun dinafikan pimpinan PAS Kelantan namun senario pada hari ini begitu berbeza jika dibandingkan semasa Nik Aziz masih memimpin.
 
"Allahyarham tok guru Nik Aziz telah pun melakukan yang terbaik sehingga masyarakat luar Kelantan juga menyokong dan menyayangi PAS.
 
"Tapi keyakinan itu sekarang ini tiada lagi sehingga rakyat Kelantan juga tolak PAS dan ini bukan persepsi tapi keadaan yang benar," katanya.
 
 

1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.