HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2015

K'jaan sasar 200,000 siswa asing menjelang 2020

BERNAMA


 


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan kemasukan 200,000 pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menjelang tahun 2020.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata sekiranya matlamat tersebut berjaya, ia juga mampu menyumbang pendapatan negara sehingga mencecah RM15.6 bilion.

Idris berkata sehingga Disember, terdapat 113,752 pelajar antarabangsa di pelbagai IPTA serta IPTS dan daripada jumlah tersebut 32,495 pelajar menuntut di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

"Pelajar antarabangsa yang datang belajar di negara ini tidak bermasalah kerana kebanyakan mereka merupakan pelajar tajaan negara asal masing-masing dan datang ke sini bersama keluarga," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kemasyarakatan 'Ceria Kembali Ke Sekolah' peringkat Parlimen Besut di sini Jumaat.

Program anjuran bersama Majlis Kebajikan Pelajaran Besut (MKPB), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan beberapa agensi pendidikan seperti Malaysian Qualification Agency (MQC), Taylor University dan Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS) membabitkan 400 pelajar miskin daripada sekolah menengah dan rendah di daerah Besut.

Setiap pelajar menerima sumbangan berupa beg, baju dan kasut sekolah termasuk peruntukan RM100 seorang yang diberi dalam bentuk sijil SSPN-I.

Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata permohonan visa belajar peringkat antarabangsa ke negara ini boleh dibuat secara online atau penaja mereka dengan hitung panjang setiap seorang dikenakan yuran RM80,000 ke atas mulai sekarang.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan lambakan pelajar asing dalam negara menimbulkan masalah, Idris menyangkalnya kerana kajian menunjukkan bilangan pelajar asing yang terbabit dalam kes jenayah amat kecil iaitu 0.075 peratus sahaja.

Katanya, sejak EMGS ditubuhkan dua tahun lalu penapisan pelajar asing ke negara ini dibuat dengan lebih teliti berbanding sebelumnya kerana majoriti daripada mereka datang ke negara ini semata-mata untuk belajar dan tiada tujuan lain.- Bernama


1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.