Oleh Harith Abd Rani
Penilaian Sudut Pandang Ketua Pemuda PAS
Saya membaca kenyataan Us. Nik Abduh, Ketua Pemuda (KP) PAS berkaitan kerjasama PAS-UMNO. Atau lebih tepat, kerjasama parti pembangkang PAS dengan parti pemerintah UMNO-BN.
Kenyataan beliau ini telah mengesahkan kebarangkalian berlakunya kerjasama PAS-UMNO seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan yang lalu.
Dalam tulisan tersebut, saya menafikan kebarangkalian wujudnya Gabungan PAS-UMNO itu sendiri. Tetapi sekarang, saya mula mempersoalkan kebenaran kenyataan saya itu.
Apakah benar kerjasama antara parti ini akan berterusan dengan sekadar ‘kerjasama?’
Membaca
kenyataan yang dikeluarkan oleh Us. Nik Abduh, meski diarahkan oleh
Presidennya untuk tidak membuat kenyataan buat masa ini, saya terus
mencapai iPad dan membuat lakaran seperti di atas.
Di sebelah kiri, PAS. Di sebelah kanan, UMNO.
PAS,
satu komponen daripada blok pembangkang. Ia membawa aspirasi
perjuangan Islam, iaitu membina sebuah Daulah Islamiyyah. Inilah
cita-citanya sejak lebih 60 tahun yang lalu.
UMNO,
satu komponen blok kerajaan semasa. Setelah hampir 6 dekad memerintah,
ia mulai sedar rakyat tidak bersamanya. Maka ia berminat pula untuk
bersama dengan PAS.
PAS,
menurut Ketua Pemudanya, melihat perkembangan ini sebagai peluang
untuknya membawa aspirasi Islam dengan lebih baik. Ini kerana tawaran
yang diberikan oleh UMNO menghilangkan ketidak-samarataan padang politik
di mana rata-rata suara pembangkang diketepikan. Dengan tawaran itu,
PAS punya kedudukan ‘istimewa’.
Menurut
beliau lagi, cara bagi PAS menggunakan peluang ini ialah dengan
mendorong UMNO untuk membaiki sistem negara berdasarkan Islam. Dan hal
ini akan digerakkan melalui 3 cara berikut:
- Mencadangkan (atau ‘memaksa’) program-program agama dan pelan-pelan alternatif kepada kerajaan UMNO-BN dengan bersumberkan nilai-nilai agama.
- Menghalang (ya, menghalang) UMNO daripada melakukan hal yang sebaliknya.
- PAS juga akan bersama UMNO untuk melawan unsur-unsur negatif yang lain seperti LGBT, tuntutan hak-hak asasi ‘style’ barat dan lain-lain.
Dengan
cara ini, sekalipun tanpa bergabung dengan UMNO, PAS mengharapkan agar
rakyat dapat melihat kesungguhan PAS membawa Islam. Lantas rakyat
diharapkan akan bersama PAS dan memberikan kuasa pemerintahan kepadanya
setelah melihat kesungguhan PAS itu menggerakkan agenda Islamnya.
Sudut
pandang di atas adalah sifir PAS setakat ini, merujuk kepada KP PAS
itu. Untuk tujuan perbincangan, anggaplah kenyataan Ketua Pemudanya itu
sebagai mewakili partinya. Ini kerana komunikasi PAS dengan khalayak
umum agak lemah dan tidak konsisten.
Di sini, empat perkara dapat difahami daripada kenyataan KP PAS yang dirujuk di atas.
Pertamanya,
PAS melihat UMNO sebagai sebuah entiti yang boleh dipercayai
komitmennya terhadap Islam lantas seruannya disambut baik. Parti Melayu
itu dilihat sebagai serius ingin kepada Syariat Islam sebagai solusi,
lalu timbullah slogan ‘Syariat Islam Asas Perpaduan Ummah’ yang dibawa
oleh PAS.
Keduanya,
PAS kini tidak lagi melihat UMNO-BN yang memerintah dengan segala
kepincangan itu sebagai mudharat yang besar berbanding mudharat-mudharat
yang lain. Maka diambil mudharat yang kecil itu untuk menolak mudharat
yang lebih besar.
Ketiganya,
PAS sendiri sedar UMNO sedang ditolak hebat oleh rakyat. Bagaimanapun,
PAS mengambil keputusan untuk terus menunjukkan kebersamaan dengan
UMNO dalam hal-hal tertentu khususnya agenda agama. PAS tidak melakukan
ini, mengikut Ketua Pemudanya, demi menumpang kuasa pemerintahan UMNO.
Tetapi PAS ingin mengambil tawaran silaturrahim UMNO itu untuk
menunjukkan kepada rakyat kesungguhan mereka dengan agenda Islam.
Dan keempat,
kita dapati PAS berpuas hati buat masa ini dengan sekadar menjadi
penasihat kepada UMNO-BN, dalam agenda ‘agama’ yang saya dapati
disempitkan maknanya. Dalam perkara keempat ini, terdapat dua ironi untuk kita sedari—
Ironi
pertama ada pada keadaan di mana PAS sebagai sebuah parti sanggup
menjadi penasihat kepada musuh politiknya juga perosak negara ini,
sedangkan badan pemutus tertinggi mereka iaitu Majlis Syura Ulama’ (MSU)
tidak sanggup menjadi penasihat kepada badan eksekutif parti mereka
sendiri.
Masih ingat
tuduhan yang dihalakan kepada bekas pimpinan yang tewas itu? Tidakkah
mereka dilabel ‘liberal’ kerana ‘mahu’ MSU tidak terlibat dalam hal
ehwal eksekutif harian?
Hari ini, PAS cukup merendah diri apabila
bersetuju menjadikan keseluruhan parti sebagai badan penasihat. Saya
tidak punya masalah ahli parlimen menjadi penasihat kepada kerajaan, itu
sememangnya tugas mereka. Tetapi tidak bagi sebuah parti
berperlembagaan dalam latar demokrasi, yang ditubuhkan untuk terlibat
bertanding dengan parti-parti lain dalam pilihanraya.
Ironi
keduanya pula ada pada tafsiran operasional bagi ‘agama’ yang disebut
oleh Ketua Pemuda PAS ini.
Saya tidak meragui keluasan kefahaman Islam
beliau, tetapi janggal sekali apabila agenda ‘Islam’ yang ingin
dizahirkan kepada umum dalam kerjasamanya bersama UMNO adalah terhad
kepada ‘nilai-nilai’ tertentu, ‘program-program Islam’, selain agenda
melawan arus LGBT juga fahaman hak asasi ‘style’ barat yang lainnya.
Semangat tafsirannya begitu sempit sekalipun motivasi agenda sebagai
penasihat itu adalah supaya UMNO-BN memahami Islam secara luas!
Saat
rakyat dihimpit kesempitan kos sara hidup; krisis kepercayaan pelabur
yang merudum; kes-kes pembunuhan para penyiasat sindiket 1MDB dan
banyak lagi krisis semasa yang sifatnya begitu menuntut perhatian
segera, PAS berasa cukup sekadar ingin menasihati UMNO dalam hal-hal di
atas.
Benar,
cadangan-cadangan itu tidak terhad kepada contoh-contoh yang diberikan.
Tetapi sempitnya ruang lingkup semangat cadangan PAS itu begitu jelas
melalui beberapa contoh yang diberikan itu. Tidak banyak yang disebut
berkaitan memperbaiki kebejatan pengurusan kewangan negara atau
kepincangan sistem kehakiman juga ketelusan pencegahan rasuah yang ada
kini.
Bagaimanapun, ada
baiknya Ketua Pemuda PAS ini tidak menyebut hal demikian sebagai fokus
‘dokumen penyelesaian Islamnya’ kepada kerajaan UMNO-BN. Adalah lebih
baik bagi PAS untuk memfokuskan kepada beberapa resolusi Kongres Rakyat
yang sejak 1 Muharram lalu masih belum dilihat kesan praktikalnya.
Saya mohon maaf kerana sedikit skeptikal dalam hal ini. Latar budaya
dalaman PAS dan realiti yang berlaku membuatkan saya berpandangan
seperti ini.
Apapun hasil pemerhatian yang diutarakan di sini, PAS jelas sekali punya sesuatu untuk dimanfaatkan dalam kerjasamanya dengan UMNO. Dan itu barangkali dilihat baik untuk PAS.
Tetapi bagaimana pula dengan UMNO? Adakah ia punya sesuatu untuk dimanfaatkan melalui kerjasama dengan PAS?
Jika
benar sebab utama UMNO ‘kepinginan’ dengan PAS ialah kerana
kesedarannya betapa UMNO-BN telah kehilangan sokongan rakyat (seperti
dinyatakan oleh KP PAS), maka kehendak UMNO untuk bersama dengan PAS
tentunya adalah untuk mendapatkan sokongan yang telah
hilang itu.
Secara spesifiknya sokongan orang Melayu Islam itulah yang
diharapkan oleh UMNO kerana PAS itu sama saja dengan parti Melayu itu
mengikut komposisi demografi ahlinya.
Maka dengan kerjasama bersama PAS, cara untuk UMNO mendapat sokongan tambahan menjelang pilihanraya umum nanti ialah —
Mendapatkan undi ahli-ahli dan para sympathiser PAS itu sendiri.
Inilah
jalannya agar silaturrahim yang dijalin ini ada hasilnya bagi pihak
UMNO. Jika tidak, UMNO hanya akan mendapat organisasi penasihat agama
sahaja. Bukankah ini sebab UMNO teringin dengan PAS seperti yang
dinyatakan oleh KP PAS tadi?
Dalam hal ini, dua persoalan penting perlu dibangkitkan. Dan persoalan ini perlu diambil kira kerana sebarang kerjasama adalah bersifat hubungan mutualisme
atau faedah dua hala. Tidak dipanggil kerjasama sekiranya satu pihak
memberi dan satu pihak lagi sekadar menerima. Dalam hal ini, UMNO perlu
memberikan sesuatu kepada PAS dan itu telah jelas seperti di atas
mengikut perkiraan PAS. Pada masa yang sama, PAS juga perlu memberikan
sesuatu kepada UMNO.
Jika PAS mendapat ‘padang politik’ yang lebih baik seperti ditawarkan UMNO, apakah yang diperolehi oleh UMNO?
Adakah
sekadar nasihat agama? Atau pelan alternatif Islami (yang saya doakan
ia berjaya dihasilkan)? Saya tidak yaqin UMNO telah bertaubat daripada
kebejatannya dan akan menerima baik nasihat agama atau cadangan
selainnya seperti seorang pesalah di hadapan tali gantung.
Hakikatnya apa yang diinginkan oleh UMNO, seperti yang menjadi asas 2 persoalan selepas ini, ialah — Sokongan rakyat!
Maka persoalan pertamanya di sini ialah — Adakah ahli PAS akan memberi undi mereka kepada UMNO sedangkan PAS menyatakan mereka masih sebagai pembangkang?
Bentuk
jalinan semasa PAS-UMNO, yang disambut baik oleh KP PAS, tidak akan
membenarkan hal ini berlaku. PAS sebagai pembangkang tidak akan
memberikan undi ahlinya kepada UMNO yang sekadar dinasihatinya, bukan
disertainya. Bahkan PAS saat ini masih menyatakan aspirasinya
menggantikan UMNO sebagai pemerintah. (Kompleks bukan hubungan dua parti
ini?)
Hal ini bererti
bentuk jalinan semasa ini hanyalah bermanfaat untuk PAS (mengikut
hitungan sifir mereka) dan tidak bermanfaat untuk UMNO. Jika demikian,
kerjasama ini sebenarnya bukanlah kerjasama. Hanya UMNO sahaja memberi,
dan PAS tidak pula memberikan apa-apa dalam konteks meraih sokongan
rakyat. Bukankah itu motif utama pinangan UMNO kepada PAS?
Maka di sini kita terpaksa berhadapan pula dengan persoalan kedua iaitu — Apakah jalinan PAS-UMNO ini akan kekal dalam bentuk semasanya, yang tidak menguntungkan UMNO?
Jika jawapannya ya,
maka UMNO telah mengambil langkah yang silap. UMNO akan menyedari
kesilapannya dalam masa terdekat dan jalinan ini tidak akan kekal lama.
Ia akan bertahan dalam tempoh maksimum sebelum tibanya PRU14. Saat itu,
percubaan UMNO mendapatkan sokongan tambahan akan berakhir dan usaha
keras PAS pula (untuk mebaiki sistem negara dalam tempoh singkat jalinan
ini) tidak akan berhasil sedang dirinya sudah punya bayang-bayang
songkok dan keris.
Bagaimanapun, jika jawapannya tidak di mana jalinan PAS-UMNO ini akan berubah daripada bentuk semasa lalu berkembang menjadi sebuah koalisi rasmi,
maka inilah jalannya untuk UMNO meraih undi ahli PAS. Inilah jalannya
untuk UMNO beroleh manfaat daripada jalinan ini.
Atas dasar ini saya
katakan — UMNO tidak akan berpuas hati dengan sekadar kerjasama dalam bentuk semasa ini.
Mereka
akan usahakan agar ada penyusunan tertentu di mana PAS akan bargabung
dengan UMNO, atau PAS akan meminta ahlinya memberi undi kepada UMNO.
Bererti, wujud kemungkinan di mana kerjasama atas dasar ‘kepentingan
agama dan negara’ ini berkembang pula menjadi satu persetujuan politik dalam menghadapi pilihanraya!
Ya, saya juga terkejut dengan cetusan yang cukup-cukup gharib ini. Tapi ia bisa terjadi!
Kata warga yang berbahasa Inggeris — Possible, even if not probable!
Agak sukar untuk membayangkannya saat ini, tapi ia perlu bagi UMNO. Saya menganggarkan penjelasan seperti ‘menyokong UMNO bererti menjamin kelangsungan pelan-pelan Islami PAS’
akan digunakan, baik oleh pemimpin UMNO kepada ahli PAS atau oleh
pimpinan-pimpinan PAS sendiri kepada masyarakat muslim seluruhnya.
Inilah jalannya UMNO beroleh sokongan tambahan, dan inilah juga jalannya
agar kerjasama PAS-UMNO berterusan!
Saya
faham ia sangat spekulatif dan barangkali mustahil untuk diterima saat
ini; tetapi pernahkah sekali seumur hidup kamu membayangkan bahawa PAS
bersedia bekerjasama dengan UMNO buat kali kedua?
Ia juga hal yang
‘mustahil’ tetapi perkembangan semasa menunjukkan ia sedang berlaku saat
ini.
Ini adalah kemungkinan kedua, di mana bentuk semasa kerjasama PAS-UMNO akan menjadi lebih sofistikated iaitu koalisi PAS-UMNO dalam pilihanraya umum.
Bagaimanapun, kemungkinan kedua ini amat berbahaya untuk PAS.
Jika
jalinan seperti ini yang berlaku, maka PAS akan ditolak bukan sahaja
oleh kaum bukan bumiputera yang telah sedia menolak UMNO-BN (lihat saja
PRU13), kaum bumiputera Melayu yang 54% menolak UMNO-BN juga akan turut menolak PAS! Bahkan peratusannya mungkin bertambah lantaran keluarnya baki ahli, sympathiser PAS yang ikhlas dan kritikal, yang saat ini masih mengambil keputusan berkecuali dengan konflik semasa PAS.
Jika
benarlah bacaan ini, maka PAS bukan sahaja akan kehilangan undi di
kawasan-kawasan campuran bahkan mereka juga akan kehilangan undi di
kawasan majoriti Melayu. Maka perjuangan mengembalikan Islam kembali ke
tempat tertinggi akan terbantut.
Tidak
mustahil hal ini berlaku termasuklah di pedalaman, melainkan ahli PAS
telah menjadi seperti ahli UMNO — Apa saja yang berlaku, PAS pilihanku.
Dulu, kini, dan selamanya.
Harapnya tidak begitu.
Apapun, dunia ini bukanlah binari sifatnya.
Saya bersedia meraikan kemungkinan ketiga
di mana hasil hujungnya masih tidak dapat dijangkakan. Boleh jadi PAS
menyedari bahayanya jalinan ini dan mengubah fikiran dalam masa
terdekat. Boleh jadi juga UMNO tersedar akan sia-sianya hubungan dengan
PAS lalu berpatah arah. Berkemungkinan juga PAS berjaya dipujuk oleh
KeADILan lalu menyertai Pakatan Harapan.
Mungkin.
Kesemuanya
dalam ilmu Allah. Tidak ada manusia yang sedar kelemahan dirinya mampu
menyenaraikan kesemua kemungkinan yang ada. Dunia tiga dimensi ini
adalah terlalu kecil untuk dibandingkan dengan tujuh lagi dimensi yang
berpotensi wujud.
Permainan PAS-UMNO ini sememangnya sangat berbahaya kepada PAS, lebih daripada bahayanya kepada UMNO.
UMNO
tidak ada apa-apa untuk dirisaukan daripada jalinan ini kerana ia
sememangnya sedang terdesak. Tetapi PAS… PAS punya legasi 60 tahun untuk
dipertaruhkan.
Dalam
kegawatan ekonomi dan permasalahan sosial semasa yang berterusan; juga
tempoh singkat setahun lebih sebelum tibanya pilihanraya
berikutnya — Percaturan yang sangat berbahaya kepada PAS ini sedang
dalam teka-teki. Dan saya risau kredibiliti PAS akan terus tercalar
selagi teka-teki ini tidak selesai atau dijelaskan dengan baik.
Sungguh saat ini bukanlah masa untuk bermain-main dengan UMNO-BN.
Jika
rakyat menolak UMNO-BN atas krisis kepimpinannya, apakah PAS merasakan
ia akan dapat meraih sokongan rakyat dengan kerjasama bersama UMNO-BN
pula? Kalaulah strategi menzahirkan kesungguhan pelan dan perlaksanaan
‘program agama’ dan ‘alternatif Islam’ yang ingin ditunjukkan, apakah
itu keperluan rakyat terbanyak dan apakah PAS telah bersedia untuk
bertindak dengan berkesan?
Mampukah
PAS membawa pelan konstruktif Islami itu sedang perlaksanaan praktikal
bagi resolusi Kongres Rakyat, seperti yang disebut sebelum ini, pun
masih belum terlihat hasilnya? Dan sekiranya PAS mampu (mudah-mudahan),
apakah UMNO akan menerima baik saranan PAS itu sedangkan tawarannya
sebelum ini dalam hal pindaan ‘Akta 355' pun ditolak ke tepi begitu
saja?
Sungguh PAS berada dalam sebuah persimpangan. Dan usaha melobi ke arah satu-satu keputusan sedang berjalan. Muktamar khas pula masih belum dapat dipastikan tarikhnya.
Saya
mendoakan agar pimpinan PAS yang ikhlas dan kritikal seperti Dato’
Husam, Dato’ Mahfuz, juga tokoh-tokoh yang terkenal lantang seperti Us.
Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Iskandar Abdul Samad akan dapat
mengubah arus ini.
Apa jua keputusannya, saya bersyukur kepada Allah kerana parti Islam kedua telah ada.
Persimpangan ini bukanlah satu kemestian.
Tangan-tangan pemberi tongkat, yang barangkali memejamkan mata kepada sifat penerima tongkat itu, sama sekali tidak diperlukan.
Kerana yang zalim itu mesti diturunkan.
Kita tidak punya banyak masa — Usahanya perlu bermula sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan