KUALA LUMPUR,  Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usul yang bakal dibahaskan perwakilan hanya merangkumi ekonomi, pendidikan dan agama.


Beliau berkata, usul yang diterima dari seluruh negara telah disaring dan mengesahkan tiada usul di luar kebiasaan yang diterima untuk dibahaskan perwakilan.

“Semua usul kita dah terima, usul macam usul biasalah.

“Selepas kita saring, usul yang dibangkitkan ialah usul berkenaan ekonomi, agama dan pendidikan…kebanyakan di bahagian-bahagian mesyuarat, saringan yang kita lakukan boleh dikatakan 90 peratus membabitkan ekonomi, pendidikan dan agama.

“Jadi, ini yang kita bentang, lain usul tak ada kita terima,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno, di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan usul mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya akan dibawa dalam PAU 2015.

Ia susulan desakan beberapa cawangan yang melihat kredibiliti Najib tercalar, ekoran beberapa isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan derma RM2.6 bilion.

Pada masa sama, Tengku Adnan menegaskan, Umno tidak akan melakukan sekatan dalam perbahasan perwakilan kali ini.

Sebaliknya, beliau mengingatkan perwakilan untuk tidak menyentuh sebarang isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

“Tak ada…kita tak pernah vetting (sekatan)…boleh bercakap.

“Kita hanya minta, kita Malaysia ini merupakan negara yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang bangsa…selalu kita nasihatkan kepada pembahas jangan menyentuh perkara yang akan menyakiti (hati), pengkhususannya bangsa lain.

“Walaupun kita tahu perhimpunan parti-parti komponen BN yang lain ada menegur masalah-masalah Umno, Melayu dan sebagainya, tetapi dikawal.

“Kita minta jangan dibangkitkan perkara-peraka yang sensitif, kerana kita ada satu konsep bersama, iaitu BN, jadi kita nasihatkan mereka jangan mengeluarkan perkataan yang menyakiti hati orang lain di kalangan ahli Umno sendiri dan juga masyarakat Malaysia,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu.