HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2015

Pemecatan tidak sah, Ramanan mahu saman Subramaniam

 
Ia tidak lengkap kerana hanya mempunyai dua sahaja ahli yang menganggotai CWC berbanding sembilan orang


Datuk-R.Ramanan,Datuk-Seri-S.Subramaniam


KUALA LUMPUR : Bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R.Ramanan akan memfailkan saman terhadap Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam kerana memecatnya secara tidak sah.

Beliau berkata, pemecatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) itu didakwa tidak sah kerana ahli yang menganggotai CWC itu tidak lengkap.

“Buat masa ini dia melantik dua orang sahaja (ahli CWC dilantik oleh Presiden berbanding sepatutnya sembilan). CWC ini adalah CWC haram.

“Saya akan saman dia atas kapasiti peribadi saya,” katanya pada sidang media di ibu negara pada Sabtu.

Menurut Ramanan, beliau akan memfailkan saman tersebut dalam masa yang terdekat bersama-sama dengan bekas Setiausaha Agung parti itu, A.K Ramalingam yang turut akan menyaman Subramaniam kerana memanipulasi Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ramanan menambah, beliau hanya menerima surat pemecatannya itu sebelum mengadakan sidang media berkenaan yang diserahkan oleh ahli parti berkenaan.

Menurutnya lagi, sebelum ini beliau hanya mendengar khabar angin mengenai pemecatannya daripada MIC.

Kelmarin, Subramaniam menjelaskan MIC telah memecat Ramanan yang juga Ketua Bahagian Bukit Bintang atas tindakannya yang berterusan mempersoalkan cara parti menguruskan perpecahan dalam MIC.

Katanya, Ramanan mempunyai tempoh sehingga 14 hari untuk membuat rayuan ke atas pemecatannya itu.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden pukul terhadap Timbalan Presiden MIC, S.K Devamany baru-baru ini di dalam bangunan MIC, Ramanan menafikan kumpulannya terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Saya nak menafikan sekeras-kerasnya. Kumpulan saya tidak ada kaitan dengan insiden pukul terhadap Devamany.

“Biarkan polis menyiasat perkara ini. Kita ahli politik, kita bukannya gangster,” tegasnya.



1 ulasan:

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.