KUALA LUMPUR, Pendekatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mana parti Islam itu menawarkan diri untuk menjadi penasihat kepada kerajaan pusat sebagai usaha untuk menyelamatkan negara merupakan pemikiran baru yang jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad berkata pemikiran baru yang cuba dibawa oleh Abdul Hadi itu dilihat cukup mengelirukan dan menyebabkan berlakunya percanggahan dalam kalangan pimpinan tersebut.

Menurutnya, sekiranya Abdul Hadi hanya sekadar ingin menjadi jadi penasihat sahaja sepatutnya beliau menubuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan janganlah masuk politik.

“Kata-kata Ustaz Hadi banyak mengelirukan kerana selama ini Pas mengatakan terlibat dalam politik pasal mengatakan Umno sebagai parti yang memerintah tak nak dengar nasihat dan dah buat benda yang merosakkan maka kena ambil kuasa daripada dia.

“Nak jadi penasihat dan tak nak ada kuasa ini adalah pemikiran baru, yang tidak jelas dan bercelaru dan membuatkan orang tertanya-tanya apa pendirian sebenar Pas.

“Sekarang ini orang nampak Pas seolah tidak tahu apa yang dia nak dan kenyataan beliau juga berbeza dengan apa yang selama ini. Kalau tak nak kuasa, tak payah jadi parti politik, buang masa berkempen dan keluarkan belanja dan sebagainya tapi lebih baik bergerak sebagai NGO,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu semalam yang menegaskan tawaran sebagai penasihat kepada kerajaan pusat bukan kerana mahu mendapatkan pangkat sebaliknya sebagai usaha untuk menyelamatkan negara.

Jelasnya, sudah tiba masanya Pas campur tangan dalam urusan negara untuk menasihati pemimpin agar mentadbir mengikut tatacara Islam.

Tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, sebagai pembangkang sudah pasti memang menjadi tugas untuk menegur dan menasihat kepada kerajaan yang memerintah.

Namun begitu, ujarnya, teguran tersebut tidaklah sampai mengatakan tidak mahu kepada kuasa dan dilihat seolah-olah cuba untuk menolong Umno pula.

“Sebagai pembangkang memang kita sebagai penasihat tapi kita perlu juga berusaha untuk nak jadi kerajaaan.

“Kalau tak mahu untuk jadi kerajaan maka lebih baik masuk jadi komponen Barisan Nasional sajalah, boleh jumpa dan bagi nasihat selalu,” tegasnya.