HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Disember 2015

SKMM siasat pengendali Facebook “LetakJawatan”

 
Joe Haidy mendakwa telah disoal siasat selama tiga jam pada Selasa lalu 


NAJIB-LETAK-JAWATAN


PETALING JAYA: Pengendali Facebook “LetakJawatan” telah dipanggil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menurut laporan yang dipetik daripada The Malaysia Insider, Joe Haidy Sulaiman, 45, mengesahkan dia telah dipanggil ke ibu pejabat SKMM pada Selasa lalu untuk disoal siasat.

“Saya disoal siasat selama 3 jam kerana dakwaan memfitnah Najib melalui LetakJawatan,” katanya yang dipetik daripada portal itu.

Dia juga memaklumkan polis kemudian mengikutnya ke rumah merampas komputer riba serta modemnya.

Menurut Joe Haidy, dia disiasat berikutan kenyataan memfitnah daripada status yang dimuat naik di laman Facebook LetakJawatan, yang mendakwa Najib pernah ditangkap khalwat dengan penyanyi dan pelakon popular, Ziana Zain.

Laman sosial itu digunakannya bagi mendesak Perdana Menteri supaya berundur.

Dia disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, di mana adalah kesalahan menerbitkan apa-apa yang lucah, palsu, mengugut atau menyinggung untuk tujuan menyakiti, salah guna, mengugut atau mengganggu sesiapa.

Sekiranya didapati bersalah, Joe Haidy boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan setahun, ataupun kedua-duanya.

Tiada ulasan: