Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee bimbang parti itu akan hilang sokongan dan keyakinan orang Melayu sekiranya tiada sebarang usaha mendamaikan pemimpin bergaduh ekoran perbezaan pendapat di antara mereka
Menulis dalam blognya hari ini, beliau menegaskan musuh Umno termasuk pembangkang gembira untuk mengambil kesempatan di atas pepecahan dalaman parti itu dalam menghadapi menjelang pilihan raya umum yang akan datang.
Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu turut menyuarakan kekesalan terhadap pemimpin Umno yang sibuk berpolitik tetapi pembangkang semakin agresif menyerang parti terbesar orang Melayu itu.
"Hari ini ada pihak seperti seronok melihat sesama pemimpin Umno bercakaran sesama sendiri, mereka seolah-olah mahu menunggu kehancuran parti itu
"Kita tidak agresif untuk serang pembangkang, sebaliknya kita lebih ghairah untuk menyerang, mencerca dan mengutuk sesama kita (Umno)," katanya seperti yang dipetik dari blog Umno Cheras.
Dalam tulisannya juga, Syed Ali turut mengingatkan supaya tiada pemimpin Umno menjadi "parasit" dan menjadi "api dalam sekam" melakukan perbuatan "menangguk di air keruh" akan menghancurkan parti.
Beliau juga mengingatkan pengamal media sosial supaya lebih beretika, bertanggungjawab dengan tidak sengaja membesar-besarkan isu yang dianggapnya "tidak sebesar mana".
Apatah lagi, katanya, adu domba sengaja dicetuskan pihak berkepentingan supaya pemimpin Umno saling bertelagah sehingga boleh memudharatkan perpaduan parti.
Sehubungan itu, beliau berkata sepatutnya usaha telah dibuat untuk mendekatkan "hubungan longgar" semua pemimpin parti dan semua pihak perlu berperanan tersebut termasuk pemimpin yang berkuasa mahupun yang tidak berjawatan.
"Apabila jarak kemesraan semakin jauh, ikatan permuafakatan sudah longgar, maka berlakulah kata-mengata dan mencerca sesama sendiri yang akhirnya memberi kesan buruk kepada parti
"Semuanya bertanggungjawab dan memikul amanah jika benar mereka sayangkan parti dan ikhlas berjuang untuk rakyat terutama orang Melayu," katanya.
Syed Ali turut mengakui persepsi bahawa Umno relevan dan bersih dilihat "tidak seperti dahulu" dan menggesa pemimpin Umno mengutamakan kepentingan orang Melayu dan Islam lebih daripada kepentingan peribadi atau puak tertentu.
"Masalahnya, orang dah pandang Umno tidak lagi seperti dulu, ini yang kita sepatutnya fikirkan dan beruasaha untuk menepis tanggapan sedemikian," katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada anggota Umno supaya tidak mendabik dada dengan mendakwa telah menyumbang banyak tenaga kepada parti kerana ia sememangnya perlu dilakukan.
"Sebagai ahli Umno, tidak kiralah yang di atas mahupun di bawah, semuanya mempunyai peranan dan telah memberi sumbangan kepada parti, sehingga parti menjadi kukuh seperti hari ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan