KUALA LUMPUR,  Ramesh Rao tidak nampak sebarang kesalahan dalam tindakan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor (PVTM), Mohd Ali Baharom yang dikatakan sekadar mempertahankan orang Melayu.

Menurut Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia itu, sebaliknya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bersalah, kerana tidak “menjalankan tugas mereka”.

“Jika KPDNKK menjalankan tugas mereka, tabiat penipuan harga tidak akan berlaku dan kedua, isu barang palsu tidak akan berlaku sama sekali.

“Jadi, bermakna KPDNKK gagal membendung isu ini dan membantu kerajaan.

“KPDNKK perlu dibubarkan dengan segera, kerana pihak berkuasa kelihatan sangat lemah,” katanya kepada pemberita di luar Menara Binjai, hari ini.

Mengenai peranan KPDNKK, Ramesh berkata, apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, ia gagal memastikan peniaga menghapuskan SST (Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan), yang membawa kepada peniaga menjual produk dengan kedua-dua cukai.

Mohd Ali yang juga dikenali sebagai Ali Tinju direman selama dua hari sehingga esok, berhubung dakwaan dia menghasut orang Melayu untuk bangkit bagi menakut-nakutkan peniaga Cina, susulan pergaduhan di Kompleks Beli-belah Kota Raya, Ahad lalu.

“Dia hanya mahu mempertahankan maruah orang Melayu, dia cuba pertahankan orang Melayu.

“Apabila orang Melayu ditipu, orang Melayu bangkit dan pertahankan. Apabila orang Cina ditipu, orang Cina akan pertahankan juga, seperti apabila orang India dianiaya, orang India akan pertahankan juga.

“Jadi, tidak masuk akal dia ditahan kerana menghasut. Dia tidak kata mahu membakar bangunan itu, dia hanya kata akan pertahankan orang Melayu,” katanya.