KUALA LUMPUR,  Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Ramesh Rao mendapatkan bantuan kerajaan Britain untuk menghantar Ketua Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown ke Malaysia.


Ia bagi membantu siasatan ke atas dakwaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara permintaan Ramesh dalam satu memorandum yang disediakan untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Tinggi British di Menara Binjai ialah, Brown disoal siasat dalam premis suruhanjaya tinggi itu, bagi memastikan ‘keselamatan’.

“Dia boleh dihantar ke Malaysia melalui kerajaan British untuk membenarkan pihak berkuasa menyoal siasatnya di suruhanjaya tinggi, kerana dia boleh dilindungi di sana dan tidak boleh ditahan.

“Kami mahu British menghubunginya untuk membantu pihak berkuasa, bagi mengetahui sejauh mana kebenaran terhadap dakwaan-dakwaan dibuatnya.

“Dia buat tuduhan, tetapi dia perlu tunjukkan bukti. Dia ambil satu kertas dan siarkan di Sarawak Report tanpa bukti,” katanya di luar Menara Binjai, selepas gagal menyerahkan memorandum itu, hari ini.

Tambahnya, adalah penting untuk tahu jika dakwaan dan dokumen yang dimilikinya adalah benar serta jangan lupa bahawa laporan-laporannya telah menyebabkan seluruh negara ragu-ragu dengan isu-isu itu.

“Jangan hanya duduk di sana dan siarkan laporan. Saya juga boleh buat dokumen-dokumen mengatakan macam-macam mengenai Clare. Datang ke kedutaan dan jelaskan diri anda.

“Datang ke Malaysia, saya mahu beli wain untuk anda,” katanya.

Mengenai tindakan seterusnya jika kerajaan Britain tidak memberi sebarang respons, jelasnya, beliau perlu menganggap yang negara itu juga “terbabit dengan Clare”.

“Itu jawapan paling mudah. Jadi, mereka perlu jawab sama ada mereka boleh atau tidak (membawa dia pulang).

“Saya harap dalam masa seminggu atau dua, mereka akan beri jawapan kepada saya. Saya harap dan mempunyai keyakinan terhadap Britain,” katanya.

Ramesh turut menyuarakan hasrat untuk menemui Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), bagi menyiasat dari mana dana yang diperolehi Brown untuk membiayai operasinya.

Beliau mendakwa, Clare mempunyai sebuah pejabat serta rumah mewah, dan ada sesuatu yang tidak kena.

“Dia bukan rakyat Malaysia, jadi kenapa berminat dalam politik Malaysia? Ada sesuatu yang tak kena.

“Jadi, minggu depan, jika tiada halangan, kami akan pergi ke FBI. Kami ada beberapa kenalan yang boleh kami hubungi, mungkin Kedutaan Amerika,” katanya.