HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Disember 2015

Audit: 708 teguran dikemukakan


Ali Hamsa
Dr Ali Hamsa menyampai ucapan perasmian pada Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan 2015 di Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini. - Foto Bernama


PUTRAJAYA - Terdapat 708 teguran dalam laporan Audit Negara Tahun 2014 Siri 3, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

‎Ali berkata, dalam teguran ini ia terangkum dua bentuk iaitu teguran punitif yang melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas dan teguran korektif (pembetulan) melibatkan penambahbaikan sistem dan prosedur.

"Sebanyak 26 teguran berbentuk punitif dan 682 teguran korektif," katanya ketika menyampaikan ucaptama sesi laporan Ketua Audit Negara di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam Putrajaya.

Mengulas lanjut, Ali berkata dalam hal ini kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan empat Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat teguran punitif.

"Siasatan ini bertujuan untuk memperoleh keterangan yang relevan dari aspek kesaksian dan keterlibatan pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan.

"Sekiranya wujud asas kukuh, bahawa pegawai didapati melakukan salah laku atau kecuaian, maka tindakan tatatertib, surcaj, atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap pegawai," katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata bagi 682 teguran korektif, 37.4 peratus atau 255 teguran telah selesai diambil penambahbaikan oleh kementerian dan agensi yang berkenaan manakala 62.6 peratus atau 427 teguran masih dalam tindakan kerana teguran-teguran tersebut melibatkan kajian dan pindaan kepada peraturan-peraturan berkaitan.

"Status tindakan ini dipantau melalui 'dashboard' Jabatan Audit Negara," katanya.

Turut hadir dalam sesi itu adalah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, dan Ketua Audit Negara Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang‎.


Tiada ulasan: