HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Disember 2015

Kelantan putus penjualan vape 16 Disember ini

SINAR HARIAN


Vape
Gambar hiasan


KOTA BHARU - Kerajaan negeri akan memutuskan mengenai penjualan rokok elektronik atau vape pada 16 Disember ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood. 

Beliau berkata, ia berikutan langkah kerajaan negeri mengharamkan penggunaan shisha beberapa tahun lepas.

"Ada laporan negatif yang menyebabkan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen (penjualan vape) sehingga kita buat keputusan muktamad pada

16 Disember ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga diberi tempoh sebulan habiskan stok vape]

Mengenai rampasan vape, Abdul Fattah berkata, ia dilakukan kerana peniaga menjual barangan yang tidak tersenarai sebagai boleh dijual.

Beliau berkata buat masa sekarang, pihak kuasa tempatan telah diarah untuk mengeluarkan surat kepada penjual vape agar menurunkan papan tanda dan kain rentang mengenai penjualan vape di premis masing-masing.  

Sementara itu di Johor, didapati urusan pejualan vape masih berjalan seperti biasa walaupun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan larangan penjualannya, bermula 1 Jan tahun depan.

Tinjauan di beberapa lokasi di Johor Baharu mendapati para peniaga vape masih menjalankan perniagaan vape walaupun maklum dengan titah larangan.

Seorang peniaga, Saiful Bahari Badarudin, 40, yang mula berniaga produk vape di Bazar Karat sejak empat tahun lepas berkata, sehingga kini beliau masih mendapat pelanggan termasuk dari rakyat
Singapura.

Mohd Izwandi Suhaimi, 29, berkata beliau menunggu keputusan dan maklum balas seterusnya daripada persatuan vape yang dikatakan bakal mengadap Sultan dalam masa terdekat berkaitan larangan tersebut.

"Saya bercadang untuk memulangkan stok barangan vape yang masih ada  sekiranya tidak habis dijual bermula tempoh penguat kuasa larangan," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: