KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)
sedang merangka permulaan 2016 dengan festival 5 hari Semangat Kuning
bulan depan, menyasarkan kesedaran penambahbaikan demokrasi dan
mendekati kumpulan “penyokong senyap” mereka.
Pengurus sekretariat pertubuhan berkenaan, Mandeep Singh berkata,
aktiviti santai dirangka bersama pameran fotografi perhimpunan Bersih 4
pada Ogos lalu.
"Acara ini bagi menghargai peserta Bersih 4 dan semua penyokong, yang mungkin tidak dapat hadir atas sebab tertentu.
"Ia bertujuan sebagai acara pendidikan untuk membuka mata namun
menyajikan acara santai pada masa yang sama. Malah ia juga turut terbuka
bagi mereka yang berminat dengan aktiviti kreatif," katanya.
Festival itu akan dianjurkan dengan kerjasama Dewan Himpunan China
Kuala Lumpur Selangor (KLSCH) pada 6 Januari di Jalan Maharajalela,
Kuala Lumpur.
Demonstrasi Bersih 4 dianjurkan selama 34 jam bermula 29 Ogos hingga 30
Ogos tahun ini dengan menyaksikan ratusan ribu peserta memakai baju
kuning "Bersih 4". Kuning ialah warna rasmi Bersih yang melambangkan
reformasi.
Demonstrasi di ibu negara itu menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak meletak jawatan susulan skandal kewangan yang melanda
pentadbirannya.
Mandeep berkata, aktiviti yang dirancang untuk festival itu termasuklah
sesi komedi pelakon Patrick Teoh, acara membaca puisi dan tayangan
filem.
Salah satu yang akan ditayangkan adalah filem Luc Besson pada 2011, The
Lady yang memaparkan watak pemimpin pro demokrasi Myanmar, Aung San
Suu Kyi, dilakonkan pelakon kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, turut dianjurkan
ialah forum dan perbincangan mengenai isu semasa, termasuklah kempen
menolak Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, senarai pembahas bagaimanapun belum diputuskan, namun
berkemungkinan akan mendapat penyertaan dari Indonesia dan Myanmar yang
akan berkongsi tentang gerakan sivil di negara masing-masing.
Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan, apabila turut dianjurkan
pertandingan mewarna selain pelancaran "Bersih Boot Camp", perkhemahan 3
hari 2 malam untuk mereka di bawah usia 30 tahun.
"Kami mahu orang ramai mengiktiraf masa depan negara dan setiap rakyat
mempunyai hak untuk bersuara, bukan golongan dewasa saja, tetapi juga
generasi muda," kata Maria.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan