BERNAMA
65 peratus daripada
jumlah kes kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri di kalangan
penduduk tempatan atau warganegara asing di negara ini melibatkan
golongan lelaki, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
KUALA LUMPUR, 65 peratus daripada jumlah kes kejadian
bunuh diri atau cubaan bunuh diri di kalangan penduduk tempatan atau
warganegara asing di negara ini melibatkan golongan lelaki, persidangan
Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Anak
Kujat berkata sehingga Oktober lalu, sebanyak 130 kes direkodkan di
mana 84 kes membabitkan lelaki dan 46 adalah wanita.
“Ia merangkumi 34 orang dari bangsa
Melayu, 42 kaum India, 47 dari kaum Cina dan selebihnya (tujuh) terdiri
daripada pelbagai kaum dan etnik,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator S. Bagiam
Ayem Perumal yang ingin tahu sama ada kementerian mempunyai pangkalan
data cubaan bunuh diri mengikut kaum, jantina dan umur serta apakah
tindakan susulan dalam membantu mereka ini agar tidak mengulangi
perbuatan cuba bunuh diri seterusnya kembali ke jalan yang benar.
Masir
berkata sebanyak 178 kes kejadian bunuh diri atau cubaan untuk membunuh
diri dicatatkan pada 2013 manakala 191 kes pada 2014.
Jelasnya, kejadian bunuh diri yang
berlaku di negara ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti masalah
kewangan, tekanan jiwa, kecewa dalam percintaan dan masalah keluarga.
Bagi mengatasi kes bunuh diri, Masir
berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sesi perjumpaan,
ceramah dan dialog telah memberikan langkah-langkah kesedaran seperti
bimbingan kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi bagi individu yang
memerlukannya.
“PDRM juga telah meminta ahli keluarga
yang rapat untuk sentiasa memperhatikan tingkah laku ahli keluarga
mereka bagi mengelakkan daripada sebarang perkara yang tidak diingini.
“Pihak keluarga dinasihatkan jika
terdapat perubahan atas tingkah laku seperti diam diri dan gelisah untuk
segera mendapatkan khidmat kaunseling dan psikoterapi yang bertauliah
di hospital ataupun di sekolah,” katanya.
Jelasnya, dalam sesi perjumpaan
sedemikian, pihak kaunselor akan memberikan nasihat bagi membantu
individu tersebut dalam menyelesaikan masalah dan memberikan ruang untuk
meluahkankan isi hati mereka.
Dalam pada itu, beliau menekankan ibu
bapa memberi pendidikan agama dan moral kepada anak-anak mereka sejak
kecil lagi kerana pengajaran agama dipandang sebagai usul penting bagi
menanam ciri-ciri kemanusiaan yang mulia.
“Pendidikan agama dan moral yang diterap
oleh ibu bapa akan menjadi benteng utama menghalang seseorang dalam
mengambil tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan mampu
mengawal hawa nafsu mereka di samping dapat mengatasi masalah jiwa yang
kosong,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan