HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Disember 2015

Nurul Izzah mungkin digantung kerana langgar sumpah taat setia

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk membawa ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. 
 
Setelah undi belah bahagi diadakan, Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia mengumumkan jumlah yang diterima adalah sebanyak 105 bersetuju dengan usul namun 77 tidak bersetuju. 
 
"Maka dengan yang demikian usul untuk merujuk YB Lembah Pantai kepada jawatankuasa adalah dipersetujui," katanya dalam Dewan Rakyat. 
 
Terdahulu usul ini dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said selepas gambar Nurul Izzah dengan Jacel Kiram tersebar 9 November yang lalu. 
 
Semasa sesi perbahasan Nurul Izzah dilihat sebak sambil memberikan penjelasan tentang tindakannya bergambar dengan Jacel. 
 
Di luar dewan, Naib Presiden PKR itu menerima keputusan untuk membawa beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk dibicarakan.
 
"Saya telah memberikan penjelasan tadi (setelah) didesak oleh keputusan majoriti anggota parlimen maka saya akan teruskan walaupun dirujuk atas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Saya pasti kita dan media juga mahu mendengar rang undang-undang seterusnya untuk terus mendesak untuk membantu masa depan negara," ujar Nurul Izzah di Lobi Parlimen hari ini. 
 
Perkara itu dicapai setelah usul yang dibawa oleh Azalina diterima oleh Speaker Dewan Tan Sri Pandirkar Amin Mulia untuk dibahaskan awal hari ini.
 
Tindakan merujuk Nurul Izzah ke jawatankuasa berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat (27 (3) dan 80.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata pihak pembangkang akan melihat semula fakta-fakta yang dikemukakan oleh pihak kerajaan sebelum keputusan dibuat.
 
Kita kena lihat samada betul atau tidak fakta-fakta ini adalah dalam ruang apa yang dikatakan penghinaan kepada Dewan Rakyat dimana dalam akta tertentu itu. Setelah kita mengenal pasti fakta baru kita boleh buat keputusan mengenai hukuman.
 
Jelas Gobind, segala keputusan kini terletak pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk memutuskannya.
 
Dewan Rakyat hari ini memutuskan bahawa tindakan Naib Presiden PKR itu merupakan satu penghinaan kepada Majlis Mesyuarat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.
 
Semuanya bermula apabila tersebarnya gambar Nurul Izzah bersama Puteri Jamalul Kiram III, Jacel Kiram yang merupakan individu yang bertanggungjawab dalam membuat serangan bersenjata terhadap Lahad Datu dua tahun lalu.
 
Nurul Izzah bakal menghadapi nasib yang sama seperti yang berlaku ke atas Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang telah digantung kerana didakwa menghina Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
 

Tiada ulasan: