KUALA LUMPUR,  Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan penjelasan Presiden merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy berhubung syarikat tersebut, hari ini.


Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, prosiding yang bermula kira-kira jam 11 pagi tadi, berjalan lancar dan berhenti berehat sehingga jam 2.30 petang untuk sesi seterusnya.

“PAC akan dengar lagi (penjelasan dari Arul Kanda) pada petang ini. Selepas itu, saya akan buat satu kenyataan akhbar.

“Jika belum habis, kita (PAC) akan teruskan. Yang penting, kita ingin maklumat yang tepat supaya laporan itu adil,” katanya selepas menghadiri prosiding antara PAC dan Arul Kanda di Bangunan Parlimen, hari ini.

Prosiding itu merupakan pertemuan pertama Arul Kanda dengan PAC, selepas beliau gagal menghadirkan diri di hadapan jawatankuasa itu sebanyak dua kali sebelum ini.

Arul Kanda kelihatan tenang ketika keluar dari bilik prosiding, dengan senyuman terukir di wajahnya, sebelum beredar meninggalkan Bangunan Parlimen.

Beliau bagaimanapun mengelak soalan yang diajukan wartawan.

Semalam, PAC memanggil bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MBD, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan berkaitan pembentukan 1MDB yang dilaporkan berlaku pada 2009, ketika di bawah pengurusannya.

Hasan dilaporkan berkata, laporan akhir Ketua Audit Negara terhadap 1MDB dijangka dibentangkan kepada PAC, pada 17 Disember ini.

Beliau berkata, PAC juga akan memanggil Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memberi keterangan kepada PAC. selepas mendengar laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

Oleh itu, katanya, PAC dijangka dapat menyiapkan laporan lengkap 1MDB pada Mac 2016.