KUALA LUMPUR, Sekumpulan pemimpin Melayu profesional yang dikenali sebagai G25 bersama 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghantar cadangan mereka mengenai pembaharuan dana politik kepada Perdana Menteri, Jumaat lalu.

Kajian sebanyak 52 muka surat itu yang diterbitkan dengan bantuan profesor ekonomi politik dari Universiti Malaya, Dr Terence Gomez itu, merangkumi cadangan untuk menjadikan dana politik lebih telus dan bertanggungjawab, menerusi penggubalan undang-undang baru, seperti Akta Parti Politik.

Jelasnya, kumpulan itu berharap boleh mendapat reaksi Perdana Menteri menjelang 15 Januari ini, namun tarikh itu bukannya satu amaran.

“Kami menyasarkan untuk cadangan itu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, kerana tempoh dua tahun yang dicadangkan kerajaan terlalu lama,” katanya pada sidang media sempena pelancaran buku bertajuk Pembaharuan untuk Pembiayaan Politik Telus dan Bertanggungjawab di Malaysia, hari ini.

Gomez yang bekerjasama rapat dengan G25 berhubung cadangan itu sejak dua bulan lalu berkata, cadangan Akta Parti Politik itu boleh dibentangkan di Parlimen pada sesi pertengahan tahun.

“Undang-undang itu perlu mengharamkan dana asing dan sulit, mengehadkan perbelanjaan dan sumbangan politik.

“Ia juga perlu mewajibkan laporan dan pendedahan umum, memperkenalkan garis panduan untuk kerajaan sementara dan melarang pemilikan parti oleh perniagaan,” katanya. 

Langkah memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga antara cadangan untuk pembaharuan institusi yang mendukung autonomi dan kesaksamaan.

“Ini akan membolehkan SPR mempunyai keupayaan memantau dan penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya.

Pada masa sama, Gomez berkata, pembiayaan awam secara langsung perlu datang daripada dana awam yang akan diagihkan kepada semua parti politik. 

“Pembiayaan awam boleh membantu mengurangkan pergantungan kepada dana swasta, khasnya kumpulan-kumpulan berkepentingan korporat dan kaya.

“Ini akan membantu meningkatkan daya saing parti-parti baru dan kecil, serta calon bebas,” katanya.