KUALA LUMPUR,  Presiden Parti Alternatif Malaysia (PAP Malaysia), Zulkifli Mohd Noor berkata, parti itu akan dibiayai oleh pemimpin dan ahli-ahlinya sendiri.


Menurutnya, tidak wajar jika ada pihak mendakwa bahawa PAP, yang telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di semua 222 kerusi Parlimen dan lebih 500 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ditaja oleh mana-mana pihak.

“Jika anda boleh membuktikan bahawa kami ada mengambil walau satu sen pun daripada sesiapa, bawa kami ke penjara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan parti di sebuah hotel di sini, hari ini.

“Kami akan menggunakan wang kami sendiri, pemimpin-pemimpin parti adalah ‘bank’ kami.

“Tetapi kita tidak akan menghalang orang ramai untuk menderma walaupun kami lebih suka memanggilnya sebagai sumbangan,” kata beliau sambil menambah bahawa PAP juga melancarkan hala tuju PRU14 mereka.

Tambahnya, parti itu tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan penyata akaun adalah telus.
“Kami tidak terhutang budi kepada sesiapa, kita adalah parti yang dimiliki oleh rakyat,” katanya.

Zulkifli, bekas Naib Pengerusi DAP, berkata parti itu berhasrat untuk mencapai sehingga 1.2 juta ahli yang berdaftar.

Parti itu akan menggunakan media elektronik bagi memudahkan pendaftaran ahli.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa singkatan parti itu tidak ada kena mengena dengan Parti Tindakan Rakyat Singapura walaupun terdapat persamaan.